PKP lagi: Elak malapetaka kesihatan lebih parah - Utusan Malaysia

PKP lagi: Elak malapetaka kesihatan lebih parah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebagai langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan Covid-19 naik secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga wabak sekali gus boleh mencetuskan suatu krisis nasional, apatah lagi kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi.

Menurut beliau, PKP turut mengambil kira kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebahagian ahli masyarakat sehingga menuntut kerajaan mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan lebih parah.

Sehubungan itu, beliau berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan beliau membuat keputusan melaksanakan PKP di seluruh negara dengan menetapkan 11 larangan dan perintah yang perlu diikuti seluruh rakyat.

“Pertama, larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

“Kedua, melarang semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta.

“Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan semalam.

Muhyiddin berkata, larangan ketiga ialah melibatkan semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Keempat, semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

“Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Muhyiddin berkata, kesemua larangan di atas melibatkan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula semalam hingga 6 Jun seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, beliau berkata, perintah kelima adalah melibatkan bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang termasuk pemandu.

Jelas beliau, bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Menurutnya, bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP.

“Keenam makan di restoran dan kedai adalah tidak dibenarkan. Penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away dibenarkan.

“Ketujuh, majikan diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa. WFH sektor awam ditentukan oleh garis panduan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa,” katanya.

Berhubung sambutan Aidilfitri, Muhyiddin berkata, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan hari raya tidak dibenarkan.

Bagi solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau, Perdana Menteri berkata, ia dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Katanya, had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

“Operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi rumah ibadah bukan Islam ditetapkan Kementerian Perpaduan. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi larangan-larangan dan arahan-arahan tersebut adalah bermula pada Rabu ini hingga 7 Jun ini.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi dan SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP ini akan diumumkan MKN.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menggunakan sistem HIDE untuk memantau premis dan kawasan hotspot Covid-19 serta mengambil tindakan susulan seperti diputuskan.

“Saya berharap semua rakyat terus berdisiplin dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

“Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dalam gelombang pertama dan kedua penularan wabak ini. Saya ingin mengingatkan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita belum menang,” katanya. – UTUSAN

 

Arahan PKP seluruh negara

1) Larangan rentas daerah, negeri.
2) Larangan semua bentuk perhimpunan sosial.
3) Melarang semua aktiviti sukan, rekreasi.
4) Semua institusi pendidikan ditutup.
5) Tiga orang dalam kenderaan persendirian, teksi, e-hailing.
6) Dine-in tidak dibenarkan.
7) Pelaksanaan bekerja dari rumah.
8) Ziarah rumah ke rumah, kubur semasa Aidilfitri tak dibenarkan.
9) Mempunyai had jumlah jemaah solat sunat Aidilfitri.
10) Operasi rumah ibadah bukan Islam diperketatkan.
11) Langkah-langkah khusus di Sabah, Sarawak, Labuan diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×