Menteri…politik separuh badannya - Utusan Malaysia

Menteri…politik separuh badannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH pergeseran bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih heboh diperkatakan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut digesa melibatkan diri dalam kemelut ini.
Rabu lalu, saya berpeluang menemui dan bercakap de­ngan pakar undang-undang dan perlembagaan Per­sekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berhubung dakwaan campur tangan politik oleh Hamzah yang dilemparkan Abdul Hamid.
Berpengalaman luas dalam hal-hal pentadbiran kerajaan dan berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri, berikut penjelasan Rais:
“Barang siapa menjadi Menteri Dalam Negeri, dia mesti campur tangan sebab dalam undang-undang. Orang salah faham Menteri Dalam Negeri bukan macam menteri perdagangan atau menteri pelancongan.
Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa perlem­bagaan. Yakni di bawah perlembagaan, Menteri Dalam Negeri adalah pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). Tidak ada menteri lain dapat kedudukan ini, kecuali menteri pertahanan.
Menteri Pertahanan mengepalai Majlis Angkatan Tentera (MAT), Menteri Dalam Negeri pula, SPP. Dengan itu sekali gus pemikiran dan perbuatan politiknya boleh diterjemahkan menerusi kedudukannya.
Tinggal lagi ada beberapa pecahan dalam akta polis yang boleh didakwa supaya menteri tak wajar campur tangan. Ini perlu dibuktikan. SPP juga bukan dilantik oleh Agong tetapi perlembagaan sendiri meletakkannya di situ. Kuasa Agong di bawahnya adalah kuasa politik dan sekuriti melalui nasihat Eksekutif.
Ia boleh menentukan siapa naik pangkat, siapa nak dilantik sebagai ketua-ketua polis tertentu dan ahli SPP berkuasa penuh dalam hal dalam pembentukan dasar, implementasi polis dan juga hal ehwal berkaitan kebajikan dan lain-lain.
Jadi, dalam konteks itu bila dikritik oleh seorang Ketua Polis Negara yang hendak berpencen, soalnya ialah kewajaran dan bukan boleh tak dia bersuara. Jadi, dari segi precedence, tak pernah berlaku di Malaysia, kecuali yang sekarang.
Yang kedua, jika dikatakan Menteri Dalam Negeri terli­bat dengan unsur-unsur poli­tik, itu memang dalam perlembagaan. Beliau boleh bu­at apa pun dalam konteks suruhanjaya. Kalau itu dikatakan politik, politiklah. Andai kata mengendalikan ikut gubernatorial power ikut negeri masing-masing, tiada siapa pun perintah. Kalau nak dijadikan kuasa kepolisian itu sebagai hak asasi manusia (human rights), ia akan kecewa. Sebab pengendalian dalam negeri adalah pengen­dalian ketenteraman awam.

Kecurigaan
Ia mesti ikut lunas yang zahir daripada badan-badan yang diperundangkan iaitu SPP. Tinggal lagi kewajaran sesuatu perlakuan menteri tadi, itu terserah kepada kon­teksnya apa yang dibuat. Jika terlampau cakap banyak, mungkin itu timbulkan kecurigaan. Tetapi kecurigaan bukan bermakna salah di sisi undang-undang. Ini yang silap kita, mungkin ada rakaman apa-apa yang mirip suara menteri, tetapi kalau ia tak salah, tak boleh anda perti­kaikan kuasa­nya.
Seorang menteri tadi, dunia politik sebelah badan dia. Siapapunlah yang menjadi menteri. Yang separuh badan lagi untuk minit yang dituntut oleh sistem.
Tentang peruntukan perlembagaan Perkara 132 dan lain-lain berhubung kepolisian, kewajaran bagi penjawat awam bersikap kiss and tell tentulah negara dan rakyat terdedah kepada risiko keselamatan dan pegangan taruh. Pada hemat saya yang berpe­ngalaman dalam hal ehwal dalam negeri pada 1977/78, saya dapati kepolisian hendaklah terus kekal rahsia dan tidak boleh diumumkan. Ini terjelma dalam kuasa Perkara 150, yakni tunaikan tanggungjawab sebagai pentadbiran darurat. Keduanya, ialah mentadbirkan kuasa-kuasa penahanan di bawah Perkara 151 Perlembagaan Malaysia.
Apa yang dibuat oleh Abdul Hamid, saya fikir akan dihakimi atau dinilai oleh dua pihak. Iaitu, pihak yang tahu undang-undang perlembagaan dan akta polis dan pihak yang suka hanya cakap. Ini perlu diadilkan untuk kedua-duanya.
Akhir sekali, penilaian itu mesti disoalkan dengan soalan iaitu apakah seseorang Ketua Polis Negara wajar mengkritik sistem yang beliau naik dengannya secara publik. Pada standard yang sebenar, perbua­tannya bercanggah dengan Peraturan Am atau General Order. Ini harus dilihat balik.
Tentang hal berhubung perkara sama ada seseorang ketua polis itu boleh diberhentikan semasa darurat, saya tak nampak perkara ini boleh dibincangkan begitu sahaja sebab perkhidmatan Abdul Hamid telah berakhir. Dia bukan diberhentikan. Kontraknya telah berakhir. Jadi, terserah kepada SPP untuk tentukan. Dan saya yakin bahawa kedudukan yang dialami sekarang telah diketahui oleh Perda­na Menteri dan beliau sebagaimana kita maklum tidak akan suarakan apa yang disebut dalam perjumpaan mereka.

Sepak terajang
Itu kewibawaan yang harus dicontohi berkaitan polis. Apa yang dibincang antara pemimpin dengan tentera tidak boleh diketahui umum. Apa yang dibincang antara polis dengan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri demikianlah juga.
Ini tak boleh disepak tera­jang. Apabila khidmat sudah habis, kita tidak boleh hurai semua. Ini sangat-sangat perlu diteliti dari segi sahsiah.
Sentiasa beringat bahawa Perdana Menteri dengan menteri, semuanya berkisar soal human rights kah? Semuanya diapungkan menerusi kuasa politik. Tiada kuasa politik, Ketua Polis Negara itu pun tidak akan ada.
(Setakat ini) saya belum lagi bersua dengan KSN yang melempar kata hanya semalam sebelum bersara. Atau hendak bersara, baru memekak. Tak pernah. Elok ini dikaji dengan diteliti kepada sesiapa yang akan menjadi ketua polis dan ketua pengarah.”
Khidmat PDRM bukan khidmat Trade Union. Ia perkhidmatan kerahsiaan “Sedia Berkhidmat” motto dan slogan asal Polis DiRaja Malaysia yang kini sudah mulai goyah dan goyang. Baikilah sendi yang reput. Gantilah dinding yang berkecai. Adakan kawat sekali seminggu. Kilatkan lencana. Rezabkan yang buncit perut. Ketengahkan anggota yang segar bugar. Bersihkan berek polis yang dalam keadaan terbiar. Latih mereja semula. Hidup PDRM.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×