PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam pengurusan dan keselamatan saluran gas di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kajian itu penting sebagai usaha penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
Menurutnya, amalan terbaik itu kemudian akan dicadangkan kepada pihak berkaitan termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi mengelak insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu berulang.
“Kami akan mencadangkan ataupun melihat perbandingan amalan-amalan terbaik yang dibuat di seluruh dunia untuk kami buat cadangan kepada pihak Petronas,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (Bagi Tender Bekalan) antara JBPM dan CLW Special Automobile (M) Sdn. Bhd. (CLW Malaysia) di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, lima pegawai JBPM masih ditugaskan di lapangan bagi mendapatkan data berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
“Kami masih dalam peringkat siasatan dan memerlukan lebih kurang dalam dua minggu untuk membuat kompilasi awal berhubung data-data yang telah kami dapat,” katanya.
Nor Hisham berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi teknikal lain seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden itu.
“Kami akan duduk bersekali dan mengumpulkan segala maklumat yang ada tentang dapatan insiden itu,” katanya. – UTUSAN











