Kesan ‘Super’ El Nino dijangka dirasai Januari tahun depan

Kesan ‘Super’ El Nino dijangka dirasai Januari tahun depan

Super El Nino
NOR Hisham Mohammad menurunkan tandatangan pada plak sempena perasmian Program BIGIAR di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kesan daripada fenomena ‘Super’ El Nino seperti cuaca panas melampau akibat penurunan kadar taburan hujan dijangka mula dirasai pada Januari tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, negeri-negeri di bahagian utara seperti Perlis dan Kedah serta utara Sabah akan merasai kesan tersebut terlebih dahulu.

Katanya, susulan itu, ketua-ketua zon sudah dimaklumkan dan diarah membuat persiapan awal menghadapi fenomena tersebut dan sebarang kemungkinan termasuk kebakaran hutan.

“Dijangka beberapa kawasan di negara ini akan mengalami penurunan hujan yang ketara pada bulan Mac dan April tahun hadapan.

“Di peringkat daerah, saya minta balai bomba untuk bekerjasama dengan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Jabatan Perhutanan setiap negeri sekiranya berlakunya kebakaran hutan,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BIGIAR) 2026 di sini, hari ini.

Nor Hisham menambah, pihaknya turut memastikan isu tekanan air rendah dapat diatasi dengan menggunakan pam air mudah alih ketika operasi pemadaman dilakukan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JBPM menyediakan 667 aset penyelamatan dan pemadaman api bagi menghadapi cuaca panas ekstrem akibat fenomena El Nino.

“Antara aset yang digerakkan seperti jentera water tanker, jentera fire rescue tender (FRT) dan pam mudah alih. Biasanya pam mudah alih digunakan bagi memadam  kebakaran dalam hutan terutama yang tiada akses laluan darat,” jelasnya.

Pada Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan fenomena El Nino yang dijangka bermula bulan lalu berpotensi menjadi kuat dan boleh mencapai tahap super dengan kebarangkalian peningkatan 96 peratus menjelang hujung tahun ini hingga awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan terkini daripada Climate Prediction Center (CPC) Amerika Syarikat pada 8 Jun menunjukkan peluang El Nino berlaku mulai bulan ini adalah 82 peratus.

Susulan itu, JBPM dilapor memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara antara November hingga Januari depan menerusi penambahan aset darat dan udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN