20 hingga 67 peratus pengguna tidak bersihkan gigi palsu dengan baik

20 hingga 67 peratus pengguna tidak bersihkan gigi palsu dengan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN pengguna menganggap gigi palsu tidak perlu dibersihkan sekerap gigi semula jadi.

Tanggapan ini sama sekali tidak tepat kerana gigi itu masih memerlukan penjagaan rapi dan teliti, walaupun bersifat tiruan.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan mulut, termasuk jangkitan dan bau kurang menyenangkan.

Pensyarah prostodontik di Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Dr. Zubaidah Zanul Abidin berkata, gigi palsu yang tidak dibersihkan dengan betul akan menyebabkan sisa makanan tertinggal di permukaan dan celah-celahnya.

Lantas membentuk lapisan plak yang seterusnya boleh mengeras menjadi karang gigi.

Plak itu bukan sahaja menyebabkan gigi palsu kelihatan kotor dan kusam, malah menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh mengganggu kesihatan mulut.

Selain itu, gigi palsu yang tidak dibersihkan dengan baik boleh menjadi punca mulut berbau.

“Bakteria dan sisa makanan yang tertinggal akan mengeluarkan bau busuk hingga menjejaskan keyakinan diri pengguna di samping menyebabkan ketidakselesaan kepada orang sekeliling.

“Kajian menunjukkan 20 hingga 67 peratus pengguna yang tidak membersihkan gigi palsu dengan baik dan pemakaian berpanjangan mengalami jangkitan pada lelangit mulut.

“Ini sekali gus boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti stomatitis iaitu keradangan pada tisu mulut,” katanya baru-baru ini.

Sehubungan itu, Zubaidah menyarankan beberapa langkah penjagaan gigi palsu agar ia kekal bersih dan selamat untuk digunakan.

Pertama, katanya, gigi palsu perlu diberus sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi lembut.

Elakkan penggunaan ubat gigi biasa kerana ia mengandungi bahan yang boleh menyebabkan permukaan gigi palsu menjadi kasar dan lebih mudah mengumpul plak.

Sebaliknya, gunakan sabun seperti sabun tangan, gel mandian atau sabun pencuci pinggan yang tidak mengandungi bahan peluntur.

“Selepas memberus, gigi palsu boleh direndam dalam larutan pembersih khas bagi menyingkirkan bakteria yang tidak dapat dihilangkan dengan memberus sekali gus membantu mengekalkan bentuk dan kebersihannya.

“Sebelum memakai semula, pastikan ia dibilas dengan air bersih untuk menghilangkan kesan sabun atau larutan pembersih tetapi elak daripada menggunakan air panas kerana ia boleh menyebabkan gigi palsu berubah bentuk atau menjadi longgar, lalu kurang selesa untuk dipakai,” katanya.

Kongsinya lagi, apabila tidak digunakan, gigi palsu harus disimpan dalam bekas berisi air atau larutan pembersih bagi mengelakkannya kering dan rapuh.

Selain itu, gigi palsu perlu ditanggalkan sebelum tidur dan direndam kerana penggunaan berpanjangan akan meningkatkan risiko jangkitan kulat pada permukaan lelangit.

Kesan buruk jika tidak dibersihkan
Gigi palsu yang tidak dijaga dengan baik boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan mulut, antaranya halitosis atau mulut berbau.

Kata Zubaidah, sisa makanan terperangkap akan menyebabkan bakteria membiak dan menghasilkan bau busuk.

Diikuti stomatitis iaitu keradangan pada tisu mulut akibat jangkitan kulat yang berpunca daripada gigi palsu kotor.

“Kesan lain ialah iritasi dan luka pada gusi akibat pengumpulan plak dan bakteria sekali gus menimbulkan ketidakselesaan semasa memakai gigi palsu.

“Dalam masa sama, ia turut meningkatkan risiko penyakit gusi dan karies. Ini kerana gigi palsu boleh menjadi tempat pembiakan bakteria, yang seterusnya menyerang enamel dan menyebabkan kerosakan,” katanya.

 

Penjagaan gigi palsu
-Kesedaran mengenai penjagaan gigi palsu perlu dipertingkatkan bagi memastikan penggunaannya tidak mendatangkan masalah kesihatan.
-Membersihkan gigi palsu dengan betul bukan sahaja membantu mengekalkan kebersihan dan kesegaran mulut, tetapi juga memanjangkan jangka hayat gigi palsu.
-Dengan penjagaan yang baik, gigi palsu boleh memberikan fungsi yang optimum serta meningkatkan kualiti hidup pemakainya.
-Jangan abaikan kebersihan gigi palsu anda, kerana seperti gigi semula jadi, ia juga memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti.

 

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×