Sarapan ala kampung di Ah Meng Kopitiam - Utusan Malaysia

Sarapan ala kampung di Ah Meng Kopitiam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI biasa pun penuh juga? Sengaja saya ke Ah Meng Kopitiam pada hari Jumaat, kononnya nak menikmati sarapan pagi dengan penuh ketenangan.

Namun, suasana di kedai kopi Cina ini macam hujung minggu juga. Tempat duduk di bahagian dalam dan luarnya penuh pelanggan, majoriti orang Melayu.

Lokasinya terletak di bangunan lama yang dibina selepas Perang Jepun di Kampung Parit, Jalan Seremban Lama, Kuala Pilah. Tiada dekorasi seperti kafe-kafe hipster yang ada di merata-rata pekan mahupun bandar.

Papan tanda kedai pun tiada tetapi kenderaan berderet diletakkan di depan premis itu setiap pagi, seolah-olah ada jamuan besar. Kalau hujung minggu pula, penuh dengan geng-geng motosikal datang secara ‘berjemaah.’

Melangkah masuk ke dalamnya sudah dapat dirasai kedatangan kita amat-amat dialu-alukan. Para pelanggannya tidak kiralah orang Melayu, Cina mahupun India tidak lokek dengan senyuman, peramah lagi.

Kebanyakan mereka datang dari kampung dan pekan berhampiran. Tidak keterlaluan dikatakan suasananya macam bersarapan di warung di kampung, bertemu dan bertegur sapa dengan pak cik mak cik serta sepupu sepapat.

Saya duduk di sudut tepi bahagian dalam, dengan kerusi kayu dan meja alas marmar vintaj, betul-betul macam kopitiam dulu-dulu. Bukan senang nak dapat suasana sebegini lagi.

Pada mulanya saya mahu mencuba mi kari yang sentiasa dicari-cari pelanggan setiap kali berkunjung ke situ. Namun, bukan rezeki saya pada hari itu kerana Jumaat gerai mi kari tutup.

Saya pesan sajian istimewanya yang lain, iaitu roti bakar, telur separuh masak dan kopi susu. Ringkas sahaja tapi garingnya roti yang dibakar guna arang kayu, disapu kaya buatan sendiri, sukar digambarkan keenakannya dengan kata-kata.

Begitu juga aroma dan rasa kopinya. Bagi saya, belum ada mana-mana kafe hipster boleh cabar rasanya. Berlemak, segar.

Sempat saya berbual dengan tauke kedai yang lebih mesra disapa Ah Nan, 82.

Katanya, biji kopi yang ditanam di Indonesia itu dibeli daripada pembekal di Kepong, Kuala Lumpur. Dia memilih republik itu sebab ia antara negara di rantau Asia yang menghasilkan biji kopi terbaik dunia.

Selain itu, menu-menu lain yang wajib dicuba adalah nasi lemak, roti canai, cucur udang, yong tau fu dan kuih-muih tradisional. Kesemuanya diusahakan oleh peniaga Melayu yang membuka gerai-gerai di sekeliling Ah Meng Kopitiam.

Tidak hairanlah kenapa ia jadi tumpuan pelanggan untuk menikmati sarapan pagi ala kampung selain vibe kopitiam lama.

Ah Nan adalah abang kepada Ah Meng. Selepas Ah Meng meninggal dunia kira-kira tujuh tahun lalu, dia bersama adiknya, Ah Tun meneruskan perniagaan itu.

Dia kini menjalankan operasi Ah Meng Kopitiam bersama anaknya, Ah Boi dan menantu, Ah Fong.

Dalam pada itu, menurut penjual nasi lemak di sebelah Ah Meng Kopitiam, Ramlah Sulaiman atau Mak Yah, 62, keramahan Ah Meng dengan orang kampung menjadikan kopitiam berkenaan tumpuan penduduk sekitar.

Cerita Mak Yah, memang semasa hidupnya, Ah Meng sering membantu orang kampung.

Malah, jika dengar ada orang kampung meninggal dunia, kadang-kadang Ah Meng menjadi orang pertama menghulurkan sumbangan berupa makanan dan minuman.

Katanya lagi, dikhabarkan duit sumbangan diterima keluarga Ah Meng semasa kematiannya didermakan kepada masjid kerana akrabnya dia dengan orang kampung.

Bagi yang mahu menikmati aura kopitiam lama di sini, eloklah datang awal sikit. Semasa saya di situ pun, pukul 11 pagi ada penjaja yang sudah berkemas-kemas kerana jualan sudah habis.

Jangan lambek poi Ah Meng Kopitiam, makanan copek abeh!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×