Masa depan semikonduktor Malaysia

Masa depan semikonduktor Malaysia: Peralihan sejajar perkembangan global

KERJASAMA dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), Arm Limited akan memacu peralihan sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan  kerjasama dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), Arm Limited bagi mengubah sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor Malaysia.

Menerusi kerjasama ini, Malaysia memeterai perjanjian bernilai AS$250 juta (RM1.12 bilion) dengan Arm untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.

Ini sekali gus membantu me­lonjakkan Malaysia sebagai negara di Asia Tenggara yang beralih daripada pemasangan cip kepada pengeluaran semikonduktor yang lebih bernilai.

Inisiatif ini dilihat sebagai lonjakan asas dalam landskap teknologi Malaysia serta permulaan gelombang semiko­n­duktor kedua negara.

Menerusi perjanjian tersebut, Malaysia mempercepatkan matlamatnya untuk membuat cip sendiri dan menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 10 syarikat cip, selain membangunkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), bagi mewujudkan saluran bakat yang kukuh untuk industri semikonduktor dalam negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia sememangnya dikenali dunia sebagai antara pengeluar terbesar semikonduktor untuk beberapa dekad dan telah menjadi pemain yang penting dalam keseluruhan rantaian bekalan industri. 

Katanya, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) merangkumi 60 peratus dalam bentuk semikonduktor dan perkembangan terbaharu tarif Donald Trump mengenakan 24 peratus keatas Malaysia memberikan kesan yang signifikan kepada industri semikonduktor tempatan. 

“Justeru pelaburan Malaysia AS$250 juta ke atas Arm Limited sebelum ini juga boleh dikatakan langkah awal yang menguntungkan negara dari kesan strategiknya kerana ia melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai bekalan semikonduktor dunia.

“Beralih daripada hanya pengeluar cip mikro untuk peralatan elektronik yang biasa se­perti televisyen, telefon bimbit, kereta dan lain-lain kegunaan biasa kepada cip mikro yang lebih advanced kegunaannya seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), robot tingkat tinggi, iaitu yang lebih kompleks kegunaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, Malaysia tidak hanya mahu menjadi pengeluar dan pemasang sahaja dalam industri ini, ini kerana ledakan dan perkembangan AI dalam dekad ini mencetuskan peningkatan permintaan yang begitu tinggi. 

Jelasnya, pelaburan pusat data oleh pelbagai syarikat multinasional (MNC) di Malaysia menjelaskan lagi potensi industri berkaitan AI, pusat data, cip mikro dan semikonduktor saling perlu memerlukan. 

“Kita tidak mahu lagi hanya menjadi pemasang untuk MNC tapi mahukan mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang tinggi dan besar dalam industri ini. 

“Bukan mudah syarikat MNC untuk membawa perpindahan teknologi mereka ke Malaysia kerana, ‘know-how’ itu adalah rahsia besar masing-masing iaitu  untuk berkongsi IP Rights bukanlah sesuatu yang mudah.

“Tambahan lagi sekarang berlaku saingan yang hebat antara syarikat MNC dan juga negara-negara seperti AS, China, Jepun, Korea, Jerman, UK dan Taiwan dalam membangunkan cip mikro yang paling canggih,” ujarnya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerjasama dengan Arm merupakan langkah yang bersifat strategik dan jangka panjang memandangkan industri semikonduktor ini sudah lama bertapak di Malaysia iaitu seawal tahun 1970an lagi. 

Beliau berkata, strategi untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan industri kepada aktiviti yang bernilai tinggi seperti pembangunan cip bagi AI adalah hala tuju yang tepat. 

“Ini adalah kerana ia boleh memberi impak positif terutama dari segi tenaga buruh kerana Malaysia mempunyai tenaga buruh yang berkemahiran yang kian meningkat. 

“Ia juga boleh menjadi pemangkin kepada sektor pendidikan terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM berikutan keperluan buruh yang tinggi dalam sektor semikonduktor terutamanya bagi aktiviti pembangunan cip,” jelasnya. 

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, kerjasama tersebut dapat mempercepatkan usaha negara untuk meningkatkan ekosistem semikonduktor tempatan daripada pemasangan ke rantaian bekalan bernilai tinggi.

Katanya, akses kepada IP berkaitan reka bentuk cip daripada Arm dapat memendekkan tempoh peralihan sektor semikonduktor negara sehingga dua tahun.

“Usaha ini membolehkan Malaysia dikenali sebagai satu daripada hub atau pusat reka bentuk IC di dunia.

“Kerjasama ini sudah tentu akan mempercepatkan proses meningkatkan rantaian bernilai tinggi kepada reka bentuk IC di negara ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×