PETALING JAYA: PKR membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti itu tahun ini meskipun terdapat kekosongan jawatan tertinggi termasuk timbalan presidennya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Pusat PKR minggu lalu.
Katanya, pemilihan sepatutnya diadakan Disember tahun ini tetapi mengikut perlembagaan parti itu, pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan.
“Pemilihan parti yang terakhir diadakan pada Disember 2018, jadi ia sepatutnya diadakan dalam tempoh tiga tahun seterusnya iaitu pada Disember 2021.
“Tetapi Majlis Pimpinan Pusat menetapkan pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan dan ia telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.
Saifuddin mengakui, terdapat kekosongan jawatan timbalan presiden selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti serta naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Dr. Xavier Jayakumar.
“Benar, selepas Langkah Sheraton ada kekosongan jawatan berikutan peristiwa pengkhianatan, tetapi parti membuat keputusan bahawa kekosongan ini tidak akan diisi.
“Kepemimpinan parti berasa PKR mampu bergerak seperti biasa walaupun ada jawatan-jawatan tidak diisi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemilihan tidak semestinya diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“PKR fokus bantu rakyat melegakan kesan pandemik dan memperkukuh Pakatan Harapan (PH). Kita pun tidak tahu lagi bila pandemik tamat dan bila PRU-15 diadakan.
“Sebab itu, keputusan penangguhan 18 bulan pemilihan adalah satu alasan yang kuat dan munasabah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











