PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk menangguhkan pelaksanaan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pekerja asing selama setahun selepas didapati kos operasi majikan meningkat sehingga 10 peratus.
Pada masa sama, lonjakan kos operasi lebih tinggi itu dijangka ditanggung majikan di dalam industri yang bergantung kepada tenaga kerja asing seperti sektor pembuatan.
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, penangguhan itu dilihat sesuatu yang wajar setelah mengambil kira pelbagai peningkatan kos dihadapi industri antaranya pelaksanaan gaji minimum RM1,700 berbanding RM1,500 dan jangkaan peningkatan tarif elektrik asas sebanyak 14.2 peratus di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) mulai Julai ini.
“Walaupun pelaksanaan caruman KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja asing ini dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini tetapi FFM merayu supaya ia ditangguhkan selama setahun kerana peningkatan kos perniagaan dihadapi industri.
“Perlu diingat bahawa pengilang akan dibebani dengan peningkatan kadar tarif asas elektrik sebanyak 14.2 peratus di bawah RP4 mulai Julai depan, ia akan menambah tekanan kos operasi.
“Penangguhan pelaksanaan caruman KWSP pekerja asing ini akan memberikan ruang kepada industri untuk menangani cabaran kewangan yang kritikal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan menetapkan kadar caruman KWSP untuk pekerja asing sebanyak dua peratus.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, penangguhan itu juga wajar dipertimbangkan kerajaan memandangkan penambahan jumlah caruman tahunan KWSP daripada pekerja asing berdasarkan gaji minimum RM1,700 dianggarkan hanya sebanyak RM2 bilion setahun.
“Apabila dibandingkan dengan jumlah kutipan caruman KWSP sebanyak RM108.22 bilion pada tahun 2024, tambahan RM2 bilion setahun daripada pekerja asing ini merupakan peningkatan agak kecil.
“Ia tidak mungkin memberikan peningkatan yang ketara terhadap pendapatan pelaburan keseluruhan KWSP,” katanya.
Beliau berkata, FFM menggesa kerajaan supaya caruman KWSP untuk pekerja asing pada kadar dua peratus ditetapkan untuk jangka masa munasabah supaya industri kekal berdaya saing sebagai hab pembuatan.-UTUSAN










