Benarkan PSC perhalusi lantikan ke jawatan penting - Utusan Malaysia

Benarkan PSC perhalusi lantikan ke jawatan penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) perlu diwujudkan untuk memberi ruang kepada ahli Parlimen memperhalusi lantikan penting seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dengan syor tersebut Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda sebaliknya mengekalkan struktur sedia ada apabila pelantikan masih dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Cuma apa yang berlaku ialah tambah baik pemilihan individu ke jabatan penting dan kritikal tersebut melalui proses perbincangan jawatankuasa berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, menerusi PSC, Perdana Menteri perlu menghantar nama individu bakal dilantik ke jawatan penting kepada PSC yang berperanan melakukan pertimbangan dan semakan status kelayakan individu yang disenarai.

“Setelah PSC memberikan maklum balas, baharulah Perdana Menteri mengangkat nama individu terlibat kepada Seri Paduka Baginda untuk diperkenankan. Ia secara langsung dapat mengurangkan kuasa mutlak Perdana Menteri dan membebaskan campur tangan politik di dalam urusan pelantikan.

“Negara lain seperti Amerika Syarikat malah negara jiran Indonesia sudah lama ada jawatankuasa khas pelantikan seperti ini tetapi Malaysia belum praktikkan. PSC pernah diwujudkan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun dimansuhkan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia memetik cadangan beberapa ahli akademik supaya Parlimen diberi kuasa melantik Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR bagi memastikan tiada campur tangan politik dalam pentadbiran kerajaan.

Malah ada pihak mencadangkan supaya lantikan keempat-empat jawatan tersebut mengikut atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja tanpa melalui nasihat Perdana Menteri.

Cadangan-cadangan tersebut timbul susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendakwa berlakunya campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia termasuk soal pelantikan jawatan penting dalam pasukan itu.

Abdul Hamid juga mendakwa, terdapat gerakan orang politik peringkat menteri mahu mempergunakan Cawangan Khas bagi kepentingan politik masing-masing.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, amalan masa kini ialah pelantikan hanya membabitkan satu pihak iaitu Perdana Menteri tanpa mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen.

“Amalan itu mencerminkan seolah-olah prinsip demokrasi di dalam struktur pentadbiran negara diketepikan.

“Sistem sedia ada dan Perlembagaan Persekutuan tidak wajar diubah tetapi perlu ditambah baik agar wujudnya meja rundingan antara badan eksekutif dan Parlimen terhadap sesuatu perkara sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Dalam nada sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari juga tidak bersetuju jika pelantikan dibuat mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong kerana Malaysia mengamalkan doktrin sistem raja berpelembagaan dan pemisahan kuasa antara ketiga-tiga cabang struktur pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, cadangan penubuhan jawatankuasa khas sudah memadai kerana bukan sahaja dapat menangani amalan nepotisme tetapi memastikan individu yang bakal dipilih memikul jawatan penting dalam kerajaan benar- benar layak.

“Seluruh dunia sudah lama amalkan perkara ini, apabila Parlimen terlebih dahulu meneliti rekod individu untuk dipastikan bebas salah laku dan rasuah.

“Jadi ia dapat mengekang amalan ‘politiking’ atau campur tangan politik di dalam pelantikan apabila nama-nama itu telah diselidik oleh anggota PSC sebelum dimuktamadkan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×