PETALING JAYA: Kesungguhan dan semangat Faisal Halim berjaya memikat pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski apabila menyenaraikan pemain itu dalam skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal pada 25 Mac ini.
Beliau juga percaya tonggak sayap itu mampu memberikan aksi terbaik buat pasukan negara.
Kata Cklamovski, beliau hadir ke pusat latihan Selangor FC dan berjumpa sendiri dengan Faisal bagi mendapatkan perkembangan terkini pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Perjumpaan tersebut memberi keyakinan kepada pengendali dari Australia itu berikutan kesungguhan Faisal yang tekad membantu pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
“Dia (Faisal) adalah seorang pemain yang amat positif di atas padang. banyak sumbangan yang boleh diberikan olehnya dalam hidup. Kita mahu membina sebuah skuad yang mantap dan tidak bergantung kepada hanya seorang pemain.
“Kekuatan pasukan kebangsaan adalah 11 orang pemain yang diturunkan di atas padang. Saya bercakap dengan Faisal ketika latihan dan saya dapat melihat kesungguhannya.
“Saya melihat ke arah matanya, ternyata dia seorang yang bersemangat dan bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya semula. Oleh sebab itu, nama Faisal tersenarai dalam panggilan menentang Nepal kali ini,” katanya pada sidang media pengumuman senarai barisan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, semalam.

Dalam sidang media itu, Cklamovski membuat kejutan dengan menyenaraikan Faisal menjelang kem latihan negara bermula 17 Mac ini bagi menghadapi Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, pada 25 Mac depan.
Kehadiran semula Faisal bersama skuad negara sememangnya mengejutkan selepas pemain itu berdepan tragedi ngeri apabila disimbah asid oleh pihak tidak dikenali pada Mei tahun lalu.
Disebabkan insiden itu, Faisal yang menjadi tonggak ketika era Kim Pan Gon terpaksa menjalani empat pembedahan yang menyebabkan dia perlu melalui tempoh pemulihan yang panjang.
Namun Faisal menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila kembali kepada prestasi terbaiknya dalam masa pantas berbanding jangkaan pegawai perubatan serta kembali menyarung jersi kebangsaan dalam tempoh tidak kurang 10 bulan.
Selain itu, Cklamovski turut menyenaraikan Mohamadou Sumareh yang sudah lama tidak bersama pasukan kebangsaan. – UTUSAN










