PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan insentif tambahan bagi membantu golongan B40 meningkatkan simpanan persaraan tanpa bergantung kepada pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ainatul Aqilah Kamarudin berkata, keputusan kerajaan mengekalkan Akaun 1 sebagai simpanan hari tua adalah langkah yang wajar bagi memastikan pencarum tidak berdepan masalah kewangan selepas bersara.
Beliau berkata, kerajaan boleh menawarkan insentif atau program subsidi yang menggalakkan golongan B40 untuk menabung di dalam akaun persaraan tambahan seperti Skim Persaraan Persendirian (PRS).
“Walaupun ada keperluan untuk membantu mereka yang menghadapi kesulitan kewangan, kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara keperluan jangka pendek dan kestabilan kewangan jangka panjang pencarum.
“Bagi golongan B40 yang mempunyai simpanan rendah, kerajaan boleh memperkenalkan insentif seperti skim sumbangan tambahan ke dalam akaun KWSP mereka atau potongan cukai untuk galakan menabung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan bahawa kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP kerana ia bertujuan untuk simpanan hari tua.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mempertimbangkan pengecualian bagi kes tertentu seperti keuzuran.
Ainatul berkata, model seperti di Singapura boleh dijadikan contoh, di mana kerajaan menyumbang jumlah tertentu bagi setiap caruman yang dibuat oleh individu berpendapatan rendah.
Katanya, skim sumbangan automatik berasaskan pendapatan juga boleh diperkenalkan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menabung secara konsisten tanpa memberi tekanan kepada kewangan mereka.
“Pencarum perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai kepentingan merancang kewangan agar mereka tidak terlalu bergantung kepada KWSP untuk keperluan jangka pendek.
“Pada masa sama, kerajaan perlu terus memperbaiki sistem sokongan sosial untuk memastikan rakyat tidak terbeban dalam menghadapi cabaran hidup yang mendesak,” katanya.
Mengulas mengenai jurang simpanan persaraan antara kaum di Malaysia masih ketara, dengan data menunjukkan pencarum Melayu mempunyai simpanan KWSP lebih rendah berbanding kaum lain.
Ainatul berkata, perbezaan ini berpunca daripada beberapa faktor termasuk pendapatan lebih rendah dan keutamaan perbelanjaan yang berbeza.
Katanya, selain itu ramai pekerja Melayu berada dalam sektor yang menawarkan gaji lebih rendah dan pekerjaan berpendapatan sederhana yang menyebabkan caruman masih rendah.











