WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan penelitian dibuat berhubung kemungkinan tarif ke atas import kayu, selain menggesa peningkatan bekalan domestik.
Kelmarin, Trump menandatangani satu lagi perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick untuk memulakan siasatan bagi menentukan kesan import kayu, papan dan produk berkaitannya terhadap keselamatan negara.
Kajian itu mungkin mendorong kepada pelaksanaan tarif baharu, yang menambah beban ke atas levi sedia ada.
Penelitian itu menyasarkan pengeksport seperti Kanada, Jerman dan Brazil, dengan pegawai Rumah Putih sebelum ini, menuduh negara tersebut membuang lebihan kayu ke dalam pasaran AS sehingga menjejaskan kemakmuran ekonomi serta keselamatan negara.
Kanada merupakan antara pengeksport kayu lembut terbesar di dunia, dengan pasaran eksport utamanya ialah AS.
Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan, hanya beberapa hari selepas Trump menggunakan mekanisme sama untuk mengkaji import tembaga serta mengumumkan kenaikan terhadap produk keluli dan aluminium.
Walaupun AS mengenakan duti anti lambakan dan timbal balas ke atas kayu Kanada, pegawai menegaskan langkah itu masih tidak memadai bagi menangani masalah tersebut.
Siasatan itu bukan sahaja merangkumi barangan import, tetapi juga produk berkaitannya seperti perabot, menurut pegawai Rumah Putih.
Laporan siasatan mesti diserahkan kepada presiden dalam tempoh 270 hari, seperti yang dinyatakan dalam teks perintah eksekutif.
Trump turut menandatangani perintah eksekutif kedua pada Sabtu, yang bertujuan meningkatkan pengeluaran kayu domestik AS, dengan matlamat menurunkan kos pembinaan dan perumahan.
Bagaimanapun, pemain industri memberi amaran pelaksanaan tarif baharu ke atas import kayu boleh memberi kesan sebaliknya, dan berpotensi meningkatkan kos perumahan serta mengurangkan kadar pemilikan rumah.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Trump mengumumkan dan membatalkan duti tinggi ke atas Kanada serta Mexico, termasuk mengancam mengenakan levi timbal balik yang boleh menjejaskan rakan dan lawan.– AFP










