SEPANG: Selepas tiga musim di bawah program pembangunan bakat muda, pelumba negara masih bergelut untuk menyerlah di pentas antarabangsa sekali gus mengundang persoalan hala tuju mereka dalam kancah motosikal dunia.
Pembangunan pelumba tempatan dikendalikan pasukan dari Jepun, MIE Racing yang diberi kepercayaan oleh penaja utama, Petronas untuk tujuan itu.
Terbaharu, pelumba Mohd. Zaqhwan Zaidi tidak menyerlah dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) di Philip Island, Australia, hujung minggu lalu.
Bermula dengan bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, kemudian diikuti Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi yang pernah beraksi di dalam Moto3 serta terbaharu Zaqhwan serta Muhammad Syarifuddin Azman, kesemua mereka tidak mampu pergi lebih jauh dalam perlumbaan dunia.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin berkata, beliau percaya pelumba-pelumba negara tidak seteruk itu sehingga gagal menghasilkan keputusan yang baik.
“Keputusan sampai Zaqhwan tidak layak (berlumba di Phillip Island) saya rasa tak munasabah sedangkan mereka boleh jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas, kelmarin.
Katanya, dua motosikal warna hijau Petronas selalunya duduk di hadapan membawa nama Petronas, tetapi kali ini di Superbike pasukan itu di belakang menggambarkan detik yang tidak baik.
“Saya percaya pelumba kita boleh buat lebih baik, saya tahu siapa yang berlumba di WorldSBK, sedikit sebanyak saya melihat persediaan ke kejohanan memang tak munasabah kerana Zaqhwan tidak pergi ke ‘winter test’ di Eropah,” katanya.
Zulfahmi berkata, ia merupakan satu persediaan yang tidak bagus bagi sesebuah pasukan tanpa sesi ujian dan beliau juga tahu pasukan-pasukan lain sudah pergi tiga atau empat kali sebelum musim bermula. – UTUSAN










