PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja di Myanmar dipaksa melakukan aktiviti penipuan dalam talian untuk rakyat beberapa negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa mendakwa sindiket penipuan yang berpangkalan di Myanmar itu bagi menjalankan kegiatan menipu rakyat China, Macau, Hong Kong dan beberapa negara Eropah.
Katanya, setakat ini kesemua individu terbabit mengakui ditawarkan pelbagai pekerjaan di Bangkok, Thailand melalui Facebook, Telegram dan Wechat untuk perkhidmatan industri makanan dan minuman, pemandu pelancong malah ‘scammer’ dengan bayaran gaji antara RM 2,000 sehingga RM30,000 sebulan.
“Mereka kemudian ke Thailand dan disambut oleh ejen syarikat sebelum dibawa terus ke sempadan Myanmar.
“Apabila tiba di Myanmar, mereka mendapati skop kerja tidak sama seperti yang ditawarkan malah dipaksa melakukan aktiviti penipuan dalam talian yang melibatkan beberapa negara.
“Antara aktiviti penipuan dalam talian yang dijalankan adalah seperti pelaburan kripto , bitcoin dan love scam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, media melaporkan polis akan mengambil keterangan seramai 15 rakyat Malaysia merupakan antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu.
Razarudin berkata, ada antara mereka mendakwa dipaksa menjadi juruteknik komputer dan telefon bimbit bagi melancarkan urusan aktiviti sindiket tersebut.
Katanya, mereka turut mendakwa perlu bekerja bermula pukul 7.30 pagi hingga 1 pagi dengan tambahan tiga hingga lima jam sekiranya tidak mencapai sasaran kerja yang ditetapkan.
“Mangsa mendakwa gaji ditahan oleh syarikat selain pergerakan dikawal dan tidak dibenarkan untuk menghubungi keluarga masing-masing.
“Siasatan mendapati kesemua mangsa tidak mengenali satu sama lain dan ada antara mereka tiba di sana pada bulan Ogos 2023 dan Mac tahun lalu,” katanya.
Katanya, setakat ini proses rakam percakapan seramai 15 individu terbabit selesai dan mereka kini diserahkan kepada keluarga dan hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.
“Hasil semakan Jabatan Imigresen mendapati kesemua pergerakan keluar mengikut laluan dan cara yang sah,” katanya.










