WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Russia dilaporkan mengadakan pertemuan secara ‘rahsia’ di Switzerland untuk membincangkan mengenai perang Ukraine sejak beberapa bulan lalu.
Menurut tiga sumber yang arif tentang perkara itu, rundingan tersebut merupakan saluran sampingan dengan beberapa kenalan yang berlaku semasa tempoh peralihan berikutan kemenangan pilihan raya Presiden AS, Donald Trump pada 5 November lalu.
Walaupun disertai individu yang berpengalaman dalam bidang diplomatik dan keselamatan, mereka bukan pegawai kerajaan dan tidak jelas jika ada yang dihantar oleh kerajaan masing-masing.
“Sekurang-kurangnya sejumlah kecil penasihat kepada Trump tahu mengenai pertemuan-pertemuan itu,” menurut sumber.
Bagaimanapun banyak butiran lain masih tidak jelas, termasuk agenda mesyuarat, sama ada wakil Ukraine hadir atau bila pertemuan itu bermula.
Pertemuan yang tidak didedahkan sebelum ini menyerlahkan usaha AS dan Russia di sebalik tabir untuk menamatkan perang Ukraine, walaupun hampir tiada hubungan secara rasmi semasa pemerintahan bekas Presiden AS, Joe Biden.
Trump yang memegang jawatan sejak sebulan lalu, mengubah pendekatan AS terhadap konflik tiga tahun di Ukraine, dengan berunding secara langsung bersama Presiden Russia, Vladimir Putin dan mendesak perjanjian segera dicapai untuk menamatkan perang.
Pada Selasa lalu, pegawai tertinggi AS diketuai Setiausaha Negara, Marco Rubio bertemu dengan pegawai Russia di Arab Saudi, termasuk Menteri Luarnya, Sergei Lavrov.
Satu sumber menyifatkan rundingan di Switzerland sebagai dialog tidak rasmi yang menjurus ke arah meningkatkan komunikasi dan mengemukakan idea, bukannya menghasilkan cadangan konkrit.
Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara AS, Rumah Putih, kerajaan Ukraine dan Kementerian Luar Russia enggan mengulas lanjut mengenainya.
Dua daripada sumber berkata, sekurang-kurangnya satu pertemuan berlaku di Geneva semasa Persidangan Keselamatan Munich minggu lalu.
Reuters melaporkan mengenai perbincangan berasingan sekitar 2023 dan awal 2024, apabila Putin menghantar isyarat bahawa beliau bersedia untuk mempertimbangkan gencatan senjata di Ukraine, bagaimanapun ia tidak membuahkan hasil.










