Pendekatan kuasa lunak China di Malaysia

Pendekatan kuasa lunak China di Malaysia

PENGARUH China semakin kuat di Malaysia dan ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEZA dengan Amerika Syarikat (AS) yang lebih cenderung menggunakan kekuatan ketenteraan dalam menangani isu serantau, negara itu sering membantu kumpulan tertentu untuk menukar kerajaan agar lebih selari dengan kepentingan AS dan sekutunya.

Malah, dalam beberapa keadaan, atas alasan serangan preemptif, AS sanggup melancarkan serangan terbuka terhadap sesebuah negara demi kepentingan geopolitiknya.

Sebaliknya, China mengamalkan pendekatan kuasa lunak (soft power) dengan memanfaatkan budaya, pendidikan, media dan ekonomi. China tidak bertujuan menjajah mana-mana negara, tetapi amat penting bagi mereka untuk mempunyai pengaruh ke atas negara lain demi memastikan kepentingan strategiknya terjaga.

Malaysia, yang terletak di lokasi strategik, dikelilingi Selat Melaka di pantai barat, laluan perdagangan utama dunia serta Laut China Selatan di pantai timur, yang turut menjadi pertikaian tuntutan China tidak terkecuali daripada strategi pengaruh ini. Persoalannya, adakah China sedang menggunakan pendekatan kuasa lunak ke atas Malaysia?

Pendekatan kuasa lunak China merangkumi pelbagai strategi untuk mempengaruhi negara lain tanpa menggunakan paksaan ketenteraan atau ekonomi secara langsung. Beberapa strategi utama termasuk:

• Diplomasi budaya
Institut Confucius: Penubuhan institut ini di pelbagai negara bertujuan mengajar bahasa Mandarin serta mempromosikan budaya China.

Program pertukaran pelajar: Tawaran biasiswa kepada pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di universiti China.

Industri seni dan hiburan: Filem, drama, dan muzik China semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa, dengan platform seperti TikTok memainkan peranan utama.

• Diplomasi ekonomi (Inisiatif Jalur dan Laluan, BRI)
Pelaburan infrastruktur: Projek-projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia dan pelabuhan Gwadar di Pakistan memperkukuhkan pengaruh China melalui pelaburan strategik.

Perdagangan dan bantuan kewangan: China menawarkan pinjaman mudah kepada negara membangun, yang dalam beberapa kes boleh menyebabkan diplomasi perangkap hutang.

• Pengaruh media dan teknologi
Platform digital: China memiliki syarikat teknologi gergasi seperti TikTok, Huawei dan Alibaba, yang bukan sahaja menguasai pasaran tetapi juga menyebarkan nilai-nilai yang selari dengan kepentingan China.

Saluran berita global: China Global Television Network (CGTN) dan Xinhua bertindak sebagai alat propaganda untuk membentuk naratif yang lebih pro-China di peringkat antarabangsa.

• Diplomasi politik dan ideologi
Model Autoritarian Kapitalis: China cuba membuktikan model pentadbirannya boleh menjadi alternatif kepada demokrasi barat.

Sokongan kepada negara membangun: China sering menyokong kerajaan yang mempunyai hubungan baik dengannya, termasuk dalam pertubuhan BRICS dan forum ASEAN.

Matlamat utama strategi ini adalah untuk mencabar dominasi Barat, memperkukuhkan hubungan dengan negara membangun serta membina sokongan terhadap kepentingan strategiknya seperti isu Laut China Selatan dan Taiwan.

NORMALISASI PENGARUH CHINA DI MALAYSIA
Pendekatan kuasa lunak China di Malaysia bukan sekadar pengaruh ekonomi tetapi melibatkan proses normalisasi nilai-nilai China dalam masyarakat. Proses ini bermula dalam komuniti Cina Malaysia dan seterusnya meresap ke dalam masyarakat Melayu. Beberapa sektor utama yang terlibat termasuk:

• Pertubuhan tradisional Cina
Banyak persatuan Cina di Malaysia menjalin hubungan erat dengan persatuan dari China. Lawatan-lawatan ke China yang dibiayai oleh persatuan dari negara itu memperkukuhkan pengaruhnya. Insiden seperti pengibaran bendera China di Teluk Intan, Perak dan Johor menjadi petunjuk jelas terhadap pengaruh ini.

• Pengaruh media Cina di Malaysia
Media berbahasa Cina di Malaysia semakin dipengaruhi oleh Beijing, yang mengawal penyebaran maklumat sensitif, seperti isu hak asasi manusia di Xinjiang. Kebanyakan akhbar Cina dimiliki oleh ahli perniagaan berbangsa Cina Malaysia yang mempunyai pelaburan besar di China, menyebabkan liputan berita cenderung lebih berpihak kepada negara tersebut. Platform digital seperti XiaoHongShu (Buku Merah Kecil) juga semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia berbangsa Cina.

• Sektor pendidikan
Selain sekolah vernakular Cina dan sekolah menengah persendirian, Malaysia kini menempatkan cawangan Universiti Xiamen, yang pertama di luar China. Universiti INTI kini dimiliki oleh China Merchant Bank, sementara Manipal International University dikuasai oleh Shenzhen International Trade (Hainan) Co. Ltd. Jumlah pelajar dari China di Malaysia dianggarkan melebihi 45,000 orang.

• Pengaruh korporat dan sektor perniagaan
Melalui inisiatif BRI, syarikat China telah memasuki pasaran korporat Malaysia, menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan. Jenama makanan dan minuman China seperti Chagee dan Mixue semakin popular, manakala jenama automotif dari China mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

• Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)
Kemasukan ramai rakyat China ke Malaysia melalui program MM2H turut mencetuskan kebimbangan. Bank of China bahkan menawarkan pinjaman kepada warganegara China yang berminat untuk memiliki hartanah di Malaysia.

China juga aktif menjalankan propaganda melalui media berbahasa Melayu dan Inggeris, seperti CGTN Malay dan akhbar Ren Min Ri Bao.

Pendekatan lunak kuasa China sedang berjalan secara sistematik dalam pelbagai sektor di Malaysia. Berbeza dengan ancaman ketenteraan yang bersifat langsung dan mudah dikesan, pendekatan halus ini lebih sukar dikesan dan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kedaulatan negara.

Ini bukan isu 3R ( agama, bangsa dan institusi diraja) tetapi berkaitan dengan kedaulatan Malaysia. Hanya kesedaran rakyat Malaysia sendiri yang dapat memastikan negara ini tidak menjadi mangsa kepada pengaruh asing yang tidak diingini.-UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu (POM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×