LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bahrain bukan sekadar perjalanan diplomatik, tetapi sebuah langkah strategik memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
Selain mempererat hubungan dua hala, lawatan ini turut menegaskan peranan Malaysia dalam memperjuangkan solidariti dunia Islam serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama ekonomi.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Bahrain sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Lebih bermakna, kunjungan ini adalah atas jemputan Putera Mahkota Bahrain, Sheikh Salman Hamad al-Khalifa, yang mencerminkan kepercayaan dan penghormatan tinggi terhadap Malaysia.
Sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang diberi penghormatan untuk berucap dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC), kehadiran Anwar menandakan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam dunia Islam.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan perpaduan ummah dalam menangani sektarianisme serta menyeru tindakan konkrit dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan Syria.
Anwar dengan lantang mengingatkan eksploitasi sektarianisme sebagai senjata untuk membakar ketegangan hanya akan melemahkan kerjasama politik serta menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan.
Beliau juga menggesa dunia Islam supaya tidak sekadar mengungkap solidariti kepada rakyat Palestin dengan retorik, tetapi dengan tindakan diplomatik dan ekonomi yang lebih menyeluruh. Beliau menekankan dunia Islam mesti memberikan bantuan dalam aspek pendidikan, kesihatan, infrastruktur serta hak asasi manusia kepada rakyat Palestin.
Meskipun terdapat ura-ura Amerika Syarikat (AS) tidak senang dengan cara Malaysia, Anwar terus berani bersuara mengenai isu pembunuhan beramai-ramai, pengusiran rakyat Palestin serta perluasan penempatan haram oleh Israel yang menuntut reaksi lebih tegas daripada negara-negara Islam.
Anwar juga menyentuh kepentingan kestabilan di Syria yang berpotensi menjadi model perdamaian dan contoh bagi dunia Islam dalam menyusun masa depan yang lebih stabil.
Selain itu, Anwar turut menyokong gesaan Imam Besar Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmed El-Tayyeb, agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar.
IIDC, yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain, Hamad Isa Al Khalifa, menghimpunkan lebih 400 cendekiawan Islam, pemimpin agama dan pakar bagi membincangkan strategi konkrit dalam memperkukuh perpaduan ummah serta menangani cabaran global yang dihadapi dunia Islam.
Dalam pertemuan rasmi dengan Putera Mahkota Bahrain, Anwar membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik yang meliputi beberapa bidang tumpuan antaranya pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta kesalinghubungan meliputi sektor pelancongan. Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Bahrain yang telah menjangkau 50 tahun diraikan dengan tekad untuk meneroka peluang ekonomi baharu.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar turut menjemput Putera Salman untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta ASEAN-GCC+ China yang akan datang. Ini mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam memperluaskan diplomasi serantau dan menjalin hubungan yang lebih kukuh antara Asia Tenggara dan negara-negara Teluk.
Pertemuan dengan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, turut memperlihatkan bagaimana Malaysia bukan sahaja ingin memperkukuhkan hubungan dua hala tetapi juga mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin dalam dunia Islam dan ekonomi global.
Lebih jauh lagi, Anwar selaku Menteri Kewangan turut mengadakan perbincangan ekonomi dengan rakan sejawatnya, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa, serta melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain bagi meneroka potensi pelaburan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Kesempatan lawatan ini turut digunakan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang sedang menerima rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal di Bahrain. Pertemuan ini memperlihatkan keakraban hubungan antara Perdana Menteri dan Seri Paduka Baginda, yang membincangkan perkembangan semasa negara dan keadaan kesihatan baginda.
Di samping itu, Anwar juga meluangkan masa bertemu komuniti rakyat Malaysia yang menetap di Bahrain dalam satu majlis makan malam di The Ritz Carlton. Dalam sesi ini, beliau mengumumkan usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan udara melalui penerbangan terus Malaysia-Bahrain yang sedang dalam rundingan antara Gulf Air dan Malaysia Airlines (MAS) atau syarikat penerbangan lain.
TINDAKAN KONKRIT
Lawatan Anwar ke Bahrain bukanlah satu kunjungan biasa apatah lagi satu pembaziran, sebaliknya ia merupakan pelaburan diplomatik dan ekonomi yang memberikan manfaat besar kepada negara.
Kehadiran beliau dalam Persidangan IIDC telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dunia Islam, manakala pertemuan dengan kepimpinan Bahrain membuka lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi.
Sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh, Anwar memahami hubungan antarabangsa bukan sekadar diplomasi formal, tetapi harus diiringi dengan tindakan konkrit yang mampu memberi kesan positif kepada rakyat dan negara.
Lawatan ini membuktikan bahawa Malaysia terus memperkukuh martabatnya sebagai sebuah negara berwibawa, berprinsip dan berperanan penting dalam membentuk masa hadapan dunia Islam serta ekonomi global.-UTUSAN
PENULIS pelajar tahun akhir dalam program Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).










