Kontraktor bangunan runtuh dipenjara 18 tahun

Kontraktor bangunan runtuh dipenjara 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Mahkamah Turkiye menjatuhkan hukuman penjara lebih 18 tahun terhadap dua individu yang terlibat dalam pembinaan kompleks kediaman negara yang runtuh berikutan gempa bumi, mengorbankan 115 nyawa, pada 2023.

Menurut media tempatan, kes itu melibatkan sebuah blok menara lapan tingkat di kompleks Ebrar di bandar Kahramanmaras di tenggara Turkiye.

Terdapat 22 blok serupa di kompleks tersebut, hampir kesemua runtuh apabila gegaran pertama dengan magnitud 7.8 melanda sebelum 6 Februari 2023, mengorbankan 1,400 nyawa.

Hakim menjatuhkan hukuman terhadap kontraktor Tevfik Tepebasi dan ketua koperasi, Atilla Oz, yang membina blok tersebut, masing-masing dengan hukuman penjara 18 tahun dan lapan bulan atas kesalahan menyebabkan kematian dan kecederaan melalui kecuaian yang sengaja.

Terdapat empat lagi tertuduh dalam kes itu, tiga daripadanya dibebaskan kerana kekurangan bukti, manakala yang keempat sedang dibicarakan secara tidak hadir, menurut penyiar tempatan NTV.

Tepebasi yang dipenjarakan sejurus selepas bencana itu, selain menghadapi tuduhan kes lain berkaitan gempa menimbulkan kekecohan dalam satu perbicaraan tahun lalu apabila berkata kepada mahkamah dia tidak patut didakwa kerana tidak tahu mengenai pembinaan.

Beberapa keluarga mangsa yang dipetik oleh NTV berkata, mereka tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut serta tiga tertuduh dibebaskan dan akan membuat rayuan.

Gempa tersebut mengorbankan lebih 53,500 nyawa di Turkiye dan hampir 6,000 di Syria.

Ia juga meruntuhkan 39,000 bangunan dan menyebabkan lebih 200,000 bangunan lain musnah menyebabkan hampir dua juta orang kehilangan tempat tinggal.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyalahkan kontraktor bangunan yang cuai dan menuduh mereka mengurangkan kos dengan menggunakan konkrit murah dan mengabaikan piawaian pembinaan asas, dengan lebih 200 kontraktor dan pemaju ditahan selepas gempa tersebut.

Namun, hampir tiada siasatan yang dilakukan terhadap pegawai awam yang menandatangani permit pembinaan dan pemeriksaan keselamatan yang hanya boleh dibuka dengan kebenaran kementerian dalam negeri.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×