PARIS: Pemimpin Eropah tidak sependapat mengenai tindak balas terhadap peralihan dasar dramatik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai konflik di Ukraine.
Dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung di Paris kelmarin, Perancis dan Britain mendesak jaminan keselamatan untuk Kyiv, sementara Jerman menolak cadangan kerahan tentera.
Ketegangan memuncak dalam kalangan pemimpin Eropah ketika mereka menghadiri mesyuarat tergempar di Istana Elysee pada Isnin, susulan kritikan pedas Naib Presiden AS, JD Vance terhadap Kesatuan Eropah (EU) dalam persidangan keselamatan di Munich.
Mesyuarat yang dipanggil saat akhir oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron itu bertujuan membincangkan respons terhadap perubahan dasar drastik Washington mengenai Ukraine.
Pemimpin Eropah kini bimbang Trump akan mengetepikan mereka daripada rundingan damai dengan Moscow yang turut mengecualikan Ukraine.
Apatah lagi, ketika pertemuan ‘jarang berlaku’ yang dijangka diadakan pada Selasa antara diplomat tertinggi dari Russia dan AS di Arab Saudi.
Susulan itu, pemimpin Eropah di Paris mempertimbangkan beberapa langkah, termasuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan agar kurang bergantung kepada AS, menyediakan jaminan keselamatan kepada Kyiv dan menghantar tentera ke Ukraine sebagai pasukan pengaman sekiranya berlaku gencatan senjata.
Macron mengadakan rundingan melalui panggilan telefon dengan Trump dan Presiden, Volodymyr Zelenskyy pada awal Selasa, menyeru jaminan keselamatan kukuh dan boleh dipercayai untuk Kyiv, supaya perjanjian damai tidak berakhir seperti perjanjian Minsk 2014 dan 2015 yang gagal menyelesaikan konflik di timur Ukraine.
Zelenskyy berkata, beliau dan Macron berkongsi ‘visi yang sama’ mengenai cara mencapai keamanan, termasuk keperluan jaminan keselamatan kukuh dan boleh dipercayai.
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer turut menyatakan kesediaan untuk mengerahkan tentera Britain ke lapangan bersama pihak lain, sekiranya terdapat perjanjian damai yang berkekalan.
Namun, beliau menegaskan langkah itu memerlukan penglibatan Washington dan jaminan keselamatan daripada AS, sebagai pihak yang boleh menghalang Russia menyerang kembali Ukraine.
Selepas rundingan itu, Canselor Jerman, Olaf Scholz pula berpendapat, sebarang perbicangan mengenai penghantaran pasukan pengaman di Ukraine adalah ‘terlalu awal’ dan sangat tidak sesuai selagi perang masih berterusan.
KOMITMEN JELAS
Tiada kenyataan bersama atau pengumuman besar selepas mesyuarat di Paris, dengan pemimpin menyatakan keputusan penting perlu dibincang dalam forum seperti EU atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Setiap pemimpin dalam mesyuarat ini sedar hubungan transatlantik, pakatan NATO dan persahabatan kita dengan AS memasuki fasa baharu. Kita semua melihatnya,” kata Perdana Menteri Poland, Donald Tusk.
Ketua EU, Ursula von der Leyen menegaskan, Ukraine berhak mendapat keamanan melalui kekuatan dan ia harus menghormati kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayahnya dengan jaminan keselamatan yang kukuh.
“Sedia dan bertekad. Butiran perlu diputuskan, tetapi komitmen sudah jelas,” kata Ketua NATO, Mark Rutte sebagai menggambarkan pendirian Eropah selepas mesyuarat itu.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen pula berkata, kerajaannya terbuka mengenai isu penghantaran tentera, namun masih mempersoalkan kesediaan AS menyokong Eropah jika langkah itu dilaksanakan.
“Russia kini mengancam seluruh Eropah,” katanya sambil mendesak AS agar tidak bersetuju dengan gencatan senjata ‘tergesa-gesa’ yang akan memberi peluang kepada Moscow menyerang semula Ukraine atau negara lain di rantau itu.
Sementara itu, Macron menyifatkan kepulangan Trump untuk penggal kedua di Rumah Putih sebagai ‘kejutan’ dan memberi amaran terhadap sebarang perjanjian damai yang boleh dianggap sebagai ‘penyerahan diri’.
Akhbar Perancis, Le Monde melaporkan, perpecahan antara Eropah dan AS adalah bersejarah, tetapi Eropah perlu membuktikan kemampuannya untuk menjamin pertahanan sendiri.
“Keselamatan dan tanggungjawab tidak boleh dibahagikan antara Eropah dan AS.
“NATO berasaskan prinsip bahawa kita sentiasa bertindak bersama dan berkongsi risiko, sekali gus menjamin keselamatan kami. Ini tidak boleh dipertikaikan,” kata Scholz di Paris.
Mesyuarat di Paris berlangsung ketika Washington mengumumkan rancangan Setiausaha Negara, Marco Rubio, Penasihat Keselamatan, Mike Waltz dan Duta Khas, Steve Witkoff untuk bertemu delegasi Russia, termasuk Menteri Luar, Sergei Lavrov di Riyadh pada Selasa, sebagai persediaan untuk pertemuan antara Trump dan Vladimir Putin nanti.- AFP










