Lelaki didenda RM17,706 palsukan sijil kematian datuk

Lelaki didenda RM17,706 palsukan sijil kematian datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura didenda $4,000 (RM17,706) selepas didapati bersalah memalsukan sijil kematian datuknya bagi mendapatkan cuti bergaji daripada majikan.

Tertuduh, Barath Gopal, 29, mengaku bersalah atas kesalahan tersebut dan dikenakan hukuman denda oleh mahkamah awal bulan ini.

Kes bermula pada November tahun lalu ketika Gopal bekerja sebagai penganalisis operasi pembiayaan keselamatan, di mana pada masa itu, beliau mendakwa mengalami tekanan emosi selepas mengetahui teman wanita berlaku curang.

Oleh kerana tidak dapat menumpukan kepada kerja, Gopal memilih untuk memohon cuti ihsan berbayar berbanding menggunakan cuti tahun yang diperuntukkan oleh majikan.

Gopal mendakwa, kononnya datuk dia di India meninggal dunia dalam tidur.

Permohonan itu diluluskan, namun apabila penyelia meminta sijil kematian sebagai bukti, Gopal cuba mengelak dengan mendakwa ia hanya boleh menyerahkan selepas bapanya pulang dari India.

Bagi mendapatkan dokumen berkenaan, dia menghubungi saudara kepada rakannya yang meninggal dunia pada Julai 2023, mendakwa dia memerlukan salinan sijil kematian untuk menghadiri pengebumian.

Gopal kemudian memalsukan dokumen tersebut di komputernya dan menghantarnya kepada penyelia, tetapi sengaja tidak menyertakan bahagian bawah sijil yang mengandungi kod QR untuk pengesahan.

Namun, helahnya terbongkar apabila penyelianya meminta salinan penuh sijil berkenaan dan Gopal meletakkan jawatan pada Disember tahun lalu, selepas menyedari perbuatan itu bakal terbongkar.

Mengikut undang-undang Singapura, kesalahan memalsukan sijil kematian boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 (RM33,000), hukuman penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Gopal hanya dikenakan denda lebih rendah daripada cadangan pendakwaan iaitu denda antara $4,000 hingga $5,000 (RM13,220 hingga RM16,523), memandangkan majikannya mengalami kerugian sebanyak $500 (RM 2,212) akibat cuti berbayar yang diberikan kepadanya. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×