KANGAR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 350 keluarga dalam kalangan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di sekitar negeri ini dan Kedah dengan peruntukan sebanyak RM52,500.
Menerusinya, setiap keluarga menerima bantuan bakul makanan bernilai RM150.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datin Faizah Ariffin berkata, bantuan berkenaan fokus kepada golongan memerlukan khususnya dalam kalangan keluarga B40, fakir miskin dan ibu tunggal.
Katanya, YBR sentiasa cakna dengan kekangan yang dihadapi keluarga tersebut.
“Kami berharap bantuan tersebut menjadi medium dalam usaha kami membantu keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan asas harian ini.
“Semoga bantuan bakul makanan ini dapat meringankan beban serta sebagai tambahan daripada bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.
“Kami di YBR sentiasa cuba membantu masyarakat yang memerlukan dan akan terus mencuba memperluaskan bantuan bagi membolehkan ramai lagi menerima manfaat,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu di sini hari ini.
Majlis penyampaian Ihsan Madani itu disempurnakan oleh Faizah yang turut dihadiri Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Tambah Faizah, pada 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 untuk tujuan pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama dalam kalangan B40. –UTUSAN











