WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguhkan cukai import ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara kelmarin, hanya beberapa jam sebelum dasar baharu itu dijadualkan berkuat kuasa.
Cukai import yang diumumkan Trump pada Sabtu lalu, terdiri daripada duti 25 peratus ke atas semua barangan import dari Mexico dan kebanyakan dari Kanada serta cukai baharu 10 peratus untuk barangan dari China.
Bagaimanapun, tarif ke atas China masih berkuat kuasa seperti yang dijadualkan, walaupun Trump merancang untuk berbincang dengan Presiden, Xi Jinping dalam masa terdekat.
Susulan itu, Kementerian Kewangan China semalam mengumumkan beberapa tarif balas, antaranya 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair, 10 peratus ke atas minyak mentah serta siasatan antimonopoli terhadap Google.
Trump memutuskan penangguhan terhadap dua negara jiran AS itu selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan sempadan masing-masing.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Sheinbaum dari Mexico. Ia adalah perbualan yang sangat mesra di mana beliau bersetuju untuk segera menyediakan 10,000 tentera di sempadan yang memisahkan Mexico dan AS.
“Pasukan tentera ini akan ditugaskan secara khusus untuk menghentikan aliran dadah fentanyl dan pendatang haram masuk ke negara kita,” tulis Trump di Truth Social.
Beliau kemudian membuat pengumuman sama di Truth Social pada Isnin, selepas Trudeau membuat pengumuman berhubung penangguhan tarif tersebut.
“Kanada bersetuju untuk memastikan kami mempunyai Sempadan Utara yang selamat, dan untuk mengakhiri wabak dadah seperti fentanyl yang masuk ke AS dan membunuh ratusan ribu rakyat kami serta memusnahkan keluarga dan masyarakat seluruh negara,” tulis Trump.
Selepas perbualannya dengan Trump, Trudeau berkata, Kanada akan melaksanakan pelan sempadan yang diumumkan sebelum ini bernilai AS$1.3 bilion (RM5.79 bilion), selain komited melantik pegawai bagi menangani penyeludupan dan penyalahgunaan fentanyl, termasuk menyenaraikan kartel sebagai pengganas.
Pengumuman perang tarif Trump terhadap tiga rakan dagang terbesar AS menimbulkan kebimbangan, bahkan dalam kalangan anggota Republikan sendiri.
Tindakan itu dikhuatiri memberi impak besar kepada ekonomi Amerika Utara dan menambah ketidaktentuan kepada pengguna yang masih terkesan dengan inflasi tinggi selama bertahun-tahun.
Penangguhan itu memberikan masa untuk meredakan ketegangan selepas huru-hara yang meletakkan Amerika Utara di ambang perang perdagangan yang berisiko menghancurkan pertumbuhan ekonomi dan menamatkan dua perkongsian paling kritikal AS.–AGENSI










