TOKYO: Seorang pemandu lori terperangkap dalam lubang benam selama lebih 24 jam di Jepun, ketika penduduk tempatan dipindahkan kerana bimbang risiko paip gas pecah.
Petugas kecemasan di bandar Yashio, di luar Tokyo bergegas ke lokasi kejadian pada pagi Selasa, selepas jalan raya runtuh dan sebuah lori terjunam ke dalam lubang seluas dua buah kereta.
Pemandu tersebut sempat berkomunikasi terus dengan penyelamat sehingga awal petang Selasa, tetapi pasukan penyelamat terpaksa berundur selepas kawasan sekitar lubang tidak stabil, menurut pegawai bomba.
“Operasi menyelamat diteruskan sepanjang masa tetapi kami tidak lagi dapat berhubung dengan pemandu sejak itu,” kata seorang lagi jurucakap bomba kepada AFP, sambil memaklumkan mangsa dipercayai berusia 70-an.
Beliau berkata, satu lagi lubang benam terbuka berhampiran tempat kejadian, dan penduduk dalam radius 200 meter terpaksa dipindahkan.
Rakaman televisyen dari udara menunjukkan lubang benam kedua, besar sedikit daripada yang pertama, dengan jarak hanya beberapa meter.
Badan utama lori berjaya ditarik keluar dari lubang benam pertama sekitar pukul 1 pagi, kata jurucakap itu.
Bagaimanapun, kabin pemandu masih berada di dalam lubang, dianggarkan kira-kira 10 meter lebar dan enam meter dalam.











