Kurang tarikan punca industri pelancongan semakin merosot

Kurang tarikan punca industri pelancongan semakin merosot

KURANG tarikan baharu yang menarik menjadi punca destinasi pelancongan domestik seperti Cameron Highlands semakin merosot.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang tarikan baharu yang menarik selain kos semakin mahal menjadi punca destinasi pelancongan domestik seperti Cameron Highlands dan Pulau Langkawi tidak lagi dikunjungi ramai terutama warga tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai memilih untuk bercuti ke negara jiran seperti Thailand kerana dikatakan lebih menarik selain kos yang hampir sama.

Seorang pekerja swasta, Amirah Ahmad, 30, berkata, percutian ke destinasi jarak pendek sering menjadi pilihan, namun, ketiadaan tarikan baharu menjadikan pengunjung semakin bosan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kos percutian domestik semakin tinggi juga tidak berbaloi terutama semasa musim cuti kerana perlu meredah kesesakan lalu lintas.

“Dulu, kalau mahu pergi bercuti memang saya akan pilih destinasi yang dekat macam Cameron Highlands, tetapi sudah bosan sebab macam tiada benda baharu.

“Lebih-lebih lagi apabila suhu di sana pun sudah tidak sejuk seperti sebelumnya. Jadi orang akan cari destinasi lain yang menampilkan lebih banyak tarikan dengan kos yang sama atau lebih murah,” katanya.

Bagi pekerja bank, Nooraini Abdul, 49, kerajaan perlu berusaha untuk mempelbagaikan tarikan di destinasi pelancongan tempatan bagi mengelakkan pengunjung semakin bosan kerana terpaksa melawat tempat yang sama.

“Sebelum Covid-19, setiap tahun saya akan ke Langkawi untuk bercuti bersama keluarga sebab hendak beli coklat yang terkenal dengan harga murah di sana, tetapi sekarang tidak lagi.

“Tetapi itu sahajalah yang menarik. Kos pun sudah meningkat. Apabila kira-kira balik, lebih baik saya pergi Thailand sebab harga lebih kurang sama. Tarikan pun macam-macam,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan beberapa pandangan mengatakan pelancongan domestik sudah tidak menarik.

Katanya, budaya dan sejarah merupakan antara tarikan utama yang menjadi keunikan pelancongan di Malaysia.

“Negara mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang menarik. Kita mempunyai antara 20 hingga 30 pulau pelancongan yang menarik untuk dilawati.

“Keunikan budaya dan sejarah negara kita juga merupakan daya penarik kepada pelancong seperti sejarah Kota Melaka dan George Town,” katanya.

Bagaimanapun, kata Wan Muhamad Adam, tidak dapat dinafikan kekurangan aksesibiliti dan kos antara faktor yang sering menjadi permasalahan bagi kebanyakan pengunjung.

Katanya, cabaran juga terletak pada cara sesuatu destinasi itu dipromosikan mengikut kesesuaian trend termasuk penggunaan elemen penceritaan menerusi media sosial.

“Apa yang paling ketara ialah aksesibiliti dan kos. Contohnya, isu lalu lintas yang teruk dan kos penginapan dan makanan di beberapa destinasi terkenal semakin tinggi, menyebabkan pelancong memilih alternatif lebih mampu milik di negara jiran.

“Malaysia sebenarnya konsisten memperkenalkan tarikan baharu, tetapi ia kurang diketengahkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini