Ijazah bukan sahaja masih relevan, tetapi semakin penting

Ijazah bukan sahaja masih relevan, tetapi semakin penting

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di pejabat rektor UIAM di Gombak, baru-baru ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PROFESOR EMERITUS DATUK DR. OSMAN BAKAR telah mula berkhidmat sebagai rektor ketujuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 23 September tahun lalu dan akan berkhidmat selama dua tahun iaitu sehingga 2026.

Sepanjang berkhidmat sebagai rektor, beliau berhasrat untuk menerapkan konsep epistemologi tauhidi di UIAM di samping menangani isu kemasukan pelajar baharu, kebolehpasaran graduan, kualiti ijazah, kerjasama dengan pemain industri, kecerdasan buatan dan kualiti pendidikan tinggi negara secara keseluruhan.

Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI baru-baru ini.

EPISTEMOLOGI TAUHIDI
IDEA ini bukan idea baharu dalam tamadun Islam tetapi ia macam tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Ada banyak sebab dan tujuan mengapa kita hendak falsafah ataupun visi epistemologi tauhidi ini menjadi pembimbing kepada masa depan UIAM.

Sebagai sebuah universiti Islam antarabangsa, amat mustahak kita memperjuangkan budaya ilmu yang sihat dari segi ilmu yang benar, yang berguna, yang kreatif dan untuk membimbing universiti, mewujudkan kurikulum pendidikan di peringkat universiti yang mantap, yang kukuh asasnya tetapi pada masa sama dinamis dari segi mengambil kira perubahan-perubahan dalam masyarakat di peringkat negara dan di peringkat luar negara.

Harus diingat, UIAM ialah universiti antarabangsa, jadi kita harus memikirkan juga tentang kedudukan umat seluruhnya, sebab sekitar hampir 20 peratus daripada pelajar-pelajar universiti adalah pelajar-pelajar daripada luar negara.

Ini bukan soal di peringkat pemikiran sahaja tetapi di peringkat pelaksanaan dan di peringkat amalan juga sangat penting. Kita memperjuangkannya kerana universiti ini ditubuhkan sebagai sebuah universiti untuk umat Islam oleh umat Islam memperjuangkan kepentingan umat Islam bukan di Malaysia sahaja, di seluruh negara.

HALA TUJU 2025
Bagi 2025, program berterusan untuk konsep epistemologi tauhidi akan diadakan di setiap peringkat.

Insya-Allah pada 2025 ini akan diadakan bengkel-bengkel dan seminar. Saya akan ada perbincangan di peringkat kuliah ataupun fakulti supaya masyarakat kampus benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan epistemologi tauhidi dan juga macam mana nak diterjemahkan kepada pelaksanaan dari segi subjek-subjek yang diajar. Program-program akademik yang baharu harus dipastikan semuanya berada di atas landasan tauhid. Kita menekankan bahawa cara kita mengatur ilmu-ilmu, cara kita merancang ilmu-ilmu yang baharu, macam mana kita nak mengaplikasikan ilmu ini supaya dibimbing oleh prinsip tauhid dan kesatuan ummah.

Misalnya bulan ini, kita akan mengadakan bengkel tentang epistemologi tauhidi dengan ahli-ahli senat yang merupakan institusi yang tertinggi, yang menggubal dasar-dasar akademik kesarjanaan untuk universiti.

KEMASUKAN PELAJAR
Kita nak tingkatkan peratusan pelajar-pelajar luar negara.Setakat ini sebenarnya di bawah 20 peratus tetapi kita akan pastikan dalam tempoh setahun akan datang kita dapat tingkatkan lagi peratus pelajar-pelajar luar negara khasnya di peringkat pascasiswazah untuk pelajar-pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Bagi mencapai tujuan itu, kita juga usahakan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang ingin buat PhD di UIAM. Insya-Allah, kita akan tawar lebih banyak biasiswa di peringkat sarjana, kita ada secara tesis dan kita ada juga secara kursus tapi dari segi kedudukan kita di peringkat antarabangsa, dari segi ranking itu yang penting sekali ialah PhD.

Universiti-universiti di Malaysia ini semakin banyak melahirkan PhD tetapi kita menekankan soal kualiti jadi tidak cukup dengan lebih banyak dari segi kuantiti tetapi yang penting sekali supaya kualiti PhD yang kita lahirkan itu akan menjadi buah mulut orang. Ini PhD daripada UIAM, maknanya sangat dihargai, itu yang penting.

BILANGAN GRADUAN
Sejak penubuhan UIAM pada 1983 sehingga sekarang, kita telah melahirkan hampir 124,000 graduan. Itu dari seluruh dunia, majoriti daripada negara kita tapi banyak juga daripada Afrika, negara-negara Barat, negara di Asia Tengah. Kehadiran pelajar-pelajar kita ini mewakili lebih daripada 100 buah negara. Jadi saingan kita bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

UIAM kini berada di tangga keempat tertinggi di Malaysia dari segi melahirkan graduan yang bekerja. Sebagai golongan profesional dan pekerja mahir kita percaya 82 peratus daripada graduan kita dapat kerja, jadi kalau kita tambah lagi kita punya kelebihan insya-Allah, kita boleh naik lagi ke tahap yang lebih tinggi.

IJAZAH SEMAKIN PENTING
Ijazah menjadi lagi penting sebab masalah masyarakat semakin bertambah. Contohnya isu kesihatan mental, isu jenayah, isu keruntuhan rumah tangga dan banyak lagi.

Jadi, sepatutnya UIAM ini menyediakan jawapan-jawapan kepada segala masalahnya. Memang ada harapan begitu, tapi itu satu cabaran besar. Kita bukan ada tongkat sakti yang boleh selesaikan semua masalah tapi kita terima baik hasrat masyarakat, maka itu kita akan pastikan kualiti pendidikan yang kita berikan itu bertambah baik.

Sebab itu, saya melihat epistemologi tauhidi sebagai satu rahmat dan nikmat yang Allah berikan kepada umat Islam. Ilmu ini boleh membimbing ilmu-ilmu yang lain, itu konsep kesatuan ilmu di mana semua ilmu ini dilihat tidak bercanggah antara satu sama lain sebaliknya kait-mengait, saling kukuh memperkukuhkan dan kuat memperkuatkan, itu kelebihan epistemologi tauhidi.

Jadi, kalau UIAM berpegang teguh kepada falsafah ilmu ini, insya-Allah, kita akan dapat menyelesaikan masalah-masalah sekarang yang timbul.

LEPAS SPM, ENGGAN MASUK UNIVERSITI?
Ya, sekarang ini timbul masalah baharu, kemerosotan dari segi pelajar-pelajar sekolah menengah, ada yang lepas ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak mahu belajar, itu satu cabaran. Tetapi kita ada angka dan data yang menunjukkan sebenarnya, yang berminat nak belajar di peringkat universiti masih ramai.

Pusat matrikulasi UIAM merekodkan kenaikan untuk tahun baharu, ada peningkatan sebanyak 35 peratus pelajar baharu menunjukkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.

Kemasukan sarjana muda juga meningkat 17 peratus, alhamdulillah UIAM menjadi antara pilihan utama, itu jelas daripada data kemasukan unit pengambilan universiti (UPU) yang menunjukkan 20 program asasi dan 56 program ijazah sarjana muda itu kita teratas. Pilihan melalui sistem kemasukan dalaman kita juga menunjukkan kita masih pilihan utama.

Kemasukan pelajar antarabangsa juga menunjukkan trend peningkatan, kalau tahun sesi akademik yang lepas sudah melepasi tahap zaman pra-Covid-19, menunjukkan jelas ramai yang mahu masuk ke UIAM.

KERJASAMA INDUSTRI
Kita ada unit khas yang menumpukan perhatian kepada bagaimana kita dapat tingkatkan hubungan dengan pihak industri, misalnya dalam bidang kejuruteraan. Kita ada sistem yang dipantau oleh supervisor industri, maknanya pelajar kita bukan hanya dipantau ahli akademik dalaman tetapi juga dengan pihak luar. Ini cukup penting. Kita beranggapan bahawa ini satu cara untuk meningkatkan kualiti graduan kita supaya pelajar terdedah kepada pelbagai perkara bergantung kepada bidang masing-masing.

Jadi dengan pihak industri, dengan ada sistem yang kita wujudkan, kita harus lipat gandakan hubungan kita, hubungan profesional dengan pihak industri dengan andaian bahawa universiti dapat manfaat dari segi hubungan dengan industri dan industri pula dapat manfaat daripada hubungannya dengan universiti.

Setiap fakulti di universiti ada hubungan industri sebab itu kita harus jangan hilang daya saing. Daya saing itu kita harus jaga, kompetitif dan bagi UIAM, kompetitif itu bukan bermakna antara universiti di Malaysia tetapi juga dengan universiti-universiti di luar negara.

KECERDASAN BUATAN
Kita sudah bincang dan akan tubuhkan satu pusat ataupun institut baharu yang menumpukan hanya kepada AI. Tapi AI itu dilihat secara bersepadu. Bukan hanya dari segi kejuruteraan dan teknik tetapi juga AI memang berdimensi banyak, jadi boleh dilihat dari segi kesihatan, kejuruteraan, ekonomi, falsafah, pendidikan. Jadi kita nak semua aspek ini dimasukkan. Di universiti lain, dia menumpukan untuk melahirkan graduan ijazah, tapi kita akan tumpukan kepada ijazah penyelidikan.

KUALITI PENDIDIKAN TINGGI MEROSOT?

Sebenarnya isu ini perlu dikaji lebih teliti dan mendalam. Sekarang ini banyak orang keluarkan pendapat secara umum dan banyak persepsi, satu persepsi ada kemerosotan kualiti, dikatakan secara umum. Mungkin ada benarnya sebab kita mengeluarkan graduan yang semakin ramai.
Ada kita dengar sesetengah universiti melahirkan PhD begitu banyak, bila sudah banyak, timbul soal kualiti tetapi perlu ada satu kajian yang objektif, bukan sekadar persepsi.

UIAM baru-baru ini juga melahirkan 400 lebih graduan PhD. Saya juga berbincang dengan timbalan rektor bidang akademik, kita kena kaji tentang kualiti. Jangan ada persepsi yang kata kita sudah merosot itu tidak berlaku kepada kita.

HARAPAN 2025
UIAM akan terus memelihara jati dirinya sebagai sebuah universiti antarabangsa, jadi kita harus pertahankan keantarabangsaan. UIAM perlu tingkatkan bilangan pelajar daripada luar negara dan insya-Allah kita akan memastikan bahawa sesi akademik baharu akan datang hujung tahun ini kita dapat menambahkan lagi bilangan tersebut.

Kita juga perlu mempunyai ahli-ahli akademik daripada luar negara, yang terlatih, yang terkenal. Dulu kita mempunyai profesor-profesor ternama. Jadi insya-Allah, kita akan dapatkan ahli-ahli akademik yang terkenal di peringkat antarabangsa supaya bersama-sama dengan ahli akademik tempatan dan akan berlaku satu simbiosis, maknanya adunan yang akan meningkatkan kualiti pengajar-pengajar kita.

Saya juga sangat mengharapkan supaya jaringan antarabangsa itu semakin kukuh. Jaringan yang baik di peringkat universiti antarabangsa akan menguntungkan universiti daripada banyak segi seperti mendapatkan sumber biasiswa, mendapatkan pertolongan kerjasama daripada pelbagai pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa.

Saya juga berharap dapat menganjurkan himpunan alumni yang terbesar dalam sejarah UIAM dengan kesedaran bahawa kalau kita nak maju, nak kuat, kita tidak boleh biarkan, abaikan peranan alumni. Semua universiti besar di Barat, mereka faham itu, jadi mereka ada hubungan yang sangat rapat antara universiti dengan alumni. Insya-Allah, kita akan pastikan ia berlaku.

Di samping itu, sebagai proses pengembangan aktiviti universiti, program akademi untuk 2025 ini sekurang-kurangnya kita akan tubuhkan tiga institut baharu. Satu pusat ialah untuk mencegah dan memerangi Islamofobia. Perlu ada satu pusat yang penting seperti ini, macam mana kita nak melawan, nak mengkritik di peringkat dunia.

Keduanya, institut pengajian antarabangsa dan ASEAN. Tahun ini Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Kita mengambil kesempatan untuk menggerakkan institusi ini yang juga penting tetapi penumpuan kita di UIAM ialah mengkaji ASEAN sebagai suatu masyarakat, kewilayahan berbanding dengan komuniti ataupun masyarakat kewilayahan ini di bahagian-bahagian lain di dunia secara komparatif.

Satu lagi untuk menubuhkan institut tentang kajian masa depan. Ini diumumkan Perdana Menteri semasa beliau berada di Seoul, Korea Selatan yang institut ini akan bertempat di UIAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×