Alkohol tiruan ragut 30 nyawa di Istanbul

Alkohol tiruan ragut 30 nyawa di Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Sekurang-kurangnya 30 orang maut di Istanbul dalam tempoh tiga hari selepas meminum alkohol tiruan, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut laporan itu, kesemua mangsa adalah sebahagian daripada lebih 80 orang yang mendapatkan rawatan di hospital sekitar Istanbul.

Sehingga kini, 31 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi akibat alkohol beracun itu.

Insiden keracunan akibat alkohol tiruan semakin kerap berlaku di Turkiye susulan kenaikan mendadak harga minuman beralkohol.

Ramai penduduk memilih alternatif yang lebih murah atau menghasilkan alkohol sendiri, sekaligus meningkatkan risiko keracunan daripada bahan toksik.

Gabungan inflasi tinggi dan cukai kerajaan yang membebankan turut mendorong harga minuman keras ke paras tertinggi dalam sejarah.

Pada Rabu, pihak berkuasa menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam penjualan alkohol tiruan, manakala dua lagi suspek didakwa atas tuduhan pembunuhan sengaja, menurut kenyataan Pejabat Gabenor Istanbul.

Sejak 1 Januari lalu, sebanyak 29 tan alkohol tiruan dirampas dalam operasi di sekitar Istanbul, manakala lesen 64 premis dibatalkan atas dakwaan menjual alkohol palsu atau diseludup.

“Kami menganggap mereka yang menyebabkan kematian ramai orang dengan menghasilkan atau menjual alkohol tiruan sama seperti pengganas yang membunuh manusia,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak berkuasa tidak akan berhenti memerangi golongan yang cuba membahayakan nyawa rakyat demi keuntungan material.

Kejadian ini sekali lagi menyoroti isu ketidakmampuan sebahagian rakyat Turkiye untuk membeli alkohol asli, selain mendesak pihak berkuasa untuk bertindak lebih tegas dalam membendung jenayah berkaitan alkohol palsu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×