KUBANG PASU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersama 300 pesawah dari beberapa negeri menuntut kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik.
Kenaikan itu bagi mengimbangi kos mengerjakan sawah yang melambung tinggi yang terpaksa di tanggung petani.
Mereka juga menggesa supaya kerajaan segera menyelesaikan isu harga lantai belian padi yang menghimpit pesawah memandangkan musim menuai sudah bermula di beberapa kawasan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ishak Taib berkata, isu tersebut perlu diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari.
Jika perkara itu tidak diselesaikan katanya, petani akan teraniaya kerana pembelian harga sedia ada iaitu RM1,300 per tan metrik tidak cukup untuk menampung kos mengerjakan sawah yang melambung kebelakangan ini.
“Ketika ini ada beberapa kawasan yang sudah mengerat dan mereka hanya dibayar RM1,300 per tan metrik. Ini kes naya buat mereka kerana terpaksa tanggung kerugian manakala di pihak kerajaan pula, terdapat khabar menyatakan harga belian padi hanya akan ditetapkan pada Mac.
“Kami merayu kepada kerajaan supaya memberi kerjasama kepada petani. Pesawah merupakan pembekal makanan utama negara, jadi takkanlah hendak dipinggirkan hingga suara kami langsung tidak didengar.
“Tuntutan kami agar harga padi dinaikkan ke RM1,800 bukan sesuatu yang aneh atau luar biasa. Pada tahun-tahun sebelum ini pun pengilang membeli padi pada harga itu dan nilai itu adil untuk petani yang terpaksa menanggung kenaikan kos ketika ini,” katanya ketika Demonstrasi Menuntut Kenaikan Harga Padi bersama 300 pesawah dari beberapa negeri hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, demonstrasi atau perhimpunan aman yang dilakukan hampir setiap hari oleh golongan petani di seluruh negara memberi isyarat jelas kepada kerajaan betapa mereka mahukan supaya isu itu diberi perhatian segera.
“Nilai RM1,300 per hektar ketika ini menyebabkan petani beroperasi pada tahap rugi. Antara sebabnya, berlaku kenaikan kos sebanyak 55 peratus apabila kerajaan membuat penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu memandangkan pengusaha jentera tidak mendapat subsidi dari kerajaan.
“Akhirnya peningkatan kos itu terpaksa ditanggung petani yang memerlukan khidmat jentera bagi mengusahakan sawah. Justeru, kerajaan perlu segera menangani isu ini agar kebajikan petani dapat dibela,” katanya.
Pesawah, Mohd. Hanif Mat Ani, 39, pula mempersoalkan bagaimana anak-anak muda mahu terus diajak mengusahakan sawah yang dianggap sumber keterjaminan makanan sedangkan petani tidak memiliki pendapatan setimpal berbanding usaha dicurahkan.
“Dengan harga RM1,300, boleh dikatakan golongan pesawah ini seolah-olah bekerja tanpa gaji. Semangat anak-anak muda untuk menyambung perjuangan golongan lama bagi mengusahakan sawah juga kian lupus,” katanya. – UTUSAN











