TEL AVIV: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir mengancam untuk meletak jawatan dan menarik sokongan partinya daripada kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sekiranya perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan diluluskan oleh Kabinet.
Dalam sidang akhbar semalam, ketua parti Kuasa Yahudi itu menegaskan, perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata Gaza dengan Hamas akan membatalkan semua pencapaian yang sudah dibuat.
Beliau berkata, partinya hanya akan menyertai semula gabungan itu jika operasi ketenteraan di Gaza, yang kini meragut lebih 46,000 nyawa rakyat Palestin, disambung semula.
“Parti Kuasa Yahudi tidak akan menjatuhkan Netanyahu dan akan membenarkannya kekal sebagai perdana menteri, jika ia tidak menjadi sebahagian daripada perjanjian ini,” kata Ben-Gvir.
Penarikan diri Ben-Gvir bagaimanapun tidak dapat menjatuhkan kerajaan Netanyahu kerana partinya sekadar memiliki enam kerusi di Knesset, yang mempunyai 120 kerusi.
Mesyuarat Kabinet Israel ditangguhkan semalam, tetapi menteri dijangka menyokong gencatan senjata tiga gasa yang akan menamatkan pertempuran di Gaza dan membebaskan tebusan sebagai balasan kepada pertukaran tahanan dari penjara Israel pada Jumaat.
Bantuan juga akan dibenarkan masuk ke Gaza dan akan ada pengunduran penuh pasukan Israel dari wilayah itu.
Awal minggu ini, Ben-Gvir mendakwa rundingan gencatan senjata adalah bentuk penyerahan kepada Hamas, dan mengugut akan meletak jawatan jika ia diluluskan.
Beliau juga menggesa Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich untuk melakukan tindakan sama.– ANADOLU











