Netanyahu: Gencatan senjata Israel-Hamas belum muktamad

Netanyahu : Perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas belum muktamad

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) dan Ketua Staf, Tzachi Braverman.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas belum selesai sepenuhnya, dengan butiran akhir perjanjian sedang diperhalusi.

Netanyahu tidak mengesahkan sama ada beliau menerima perjanjian yang diumumkan beberapa jam sebelumnya oleh Perdana Menteri Qatar dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Perjanjian itu, jika dimeterai, akan menghentikan perang dahsyat selama 15 bulan di Gaza serta membolehkan puluhan tebusan dibebaskan.

“Pernyataan rasmi oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu hanya akan dikeluarkan selepas butiran akhir perjanjian diselesaikan,” menurut kenyataan pejabat Netanyahu yang dikeluarkan tengah malam tadi.

Konflik itu mengakibatkan ketidakstabilan di Asia Barat dan mencetuskan protes di seluruh dunia.

Menurut pegawai kanan AS, rundingan tambahan akan berlangsung di Kaherah pada Khamis dengan penyertaan perunding dari Mesir, Qatar, dan AS.

Fokus utama adalah memastikan kedua-dua pihak, Israel dan Hamas, jelas dengan syarat perjanjian serta melaksanakan pelaksanaannya tanpa gangguan.

Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata, mereka berusaha memastikan semua aspek perjanjian dipatuhi sepenuhnya.

Perang antara Israel dan Hamas sejak 7 Oktober 2023 telah meragut lebih 46,000 nyawa di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah itu dan lebih separuh daripada mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, konflik tercetus apabila kumpulan Hamas menyerang selatan Israel pada tarikh tersebut, mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel dan menculik 250 orang dengan sebahagian besar tebusan dipercayai masih hidup, manakala sepertiga daripadanya dilaporkan meninggal dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×