BAKU: Azerbaijan konsisten memainkan peranan dalam mempertahankan kepentingan negara-negara Islam di semua organisasi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presidennya, Ilham Aliyev berkata, negaranya mengambil langkah konsisten untuk mengukuhkan perpaduan umat Islam, termasuk memupuk rasa hormat terhadap agama Islam di Azerbaijan, menggalakkan hubungan antara agama dan menganjurkan pelbagai acara penting seperti Sukan Solidariti Islam Keempat pada 2017.
Beliau turut menegaskan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang dianggotai oleh 57 negara Islam, sentiasa memberikan pandangan positif terhadap Azerbaijan.
Menekankan komitmen Azerbaijan terhadap isu antarabangsa berkaitan dunia Islam, Ilham berkata, negaranya berada di barisan hadapan dalam menangani cabaran yang dihadapi rakyat Palestin.
Bahkan, setelah kejatuhan rejim Bashar al-Assad dan pembentukan kerajaan baharu Syria, Azerbaijan menjadi negara kedua selepas Turkiye yang menawarkan bantuan kemanusiaan, selain menghantar delegasi dari Kementerian Luar Negeri melawat negara itu.
“Kami memberikan bantuan kepada banyak negara Islam, tetapi kami tidak bermegah mengenainya dan membincangkan ia secara terbuka.
“Bagaimanapun, liputan media yang ada sudah cukup untuk menunjukkan betapa aktifnya kami dalam hal ini, sama ada semasa krisis Covid-19 dan situasi lain,” kata Ilham dalam dengan saluran televisyen tempatan.
Dalam temu bual itu, beliau turut menegaskan pendirian negaranya mengenai isu Israel-Palestin yang tidak pernah berubah, dengan sentiasa menyokong penubuhan dua negara.
Ilham menegaskan, sokongan Azerbaijan terhadap negara Palestin masih berterusan, selain percaya penubuhan sebuah negara merdeka akan menamatkan konflik yang berlarutan.
“Kedutaan Palestin beroperasi di Azerbaijan selama bertahun-tahun. Kami juga membuka pejabat perwakilan di Palestin, dan sudah tentu lebih cepat konflik ini berakhir dan gencatan senjata di Gaza diisytiharkan, lebih baik untuk semua pihak.
“Ini adalah harapan kami dan kami juga menjadikan aktiviti Liga Arab sebagai asas. Kami mengambil bahagian secara aktif dalam semua acara OIC dan pendirian kami sangat jelas,” katanya.










