PORT SUDAN: Sekurang-kurangnya 120 orang awam terbunuh dalam serangan artileri di barat Omdurman semalam, apabila pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera kembali memuncak.
Pasukan penyelamat berkata, bekalan perubatan berada dalam keadaan kritikal ketika pekerja kesihatan bergelut untuk merawat sebilangan besar mangsa cedera di bandar Khartoum, yang terletak di seberang Sungai Nil.
Sudan berada dalam keadaan perang sejak April 2023 antara pasukan dua jeneral saingan.
Sebahagian besar Omdurman berada di bawah kawalan tentera, manakala Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menguasai Khartoum Utara dan beberapa kawasan lain di ibu negara.
Penduduk Greater Khartoum di kedua-dua belah Sungai Nil kerap melaporkan tembakan di seberang sungai, dengan bom dan serpihan sering mengenai rumah serta orang awam.
Kedua-dua pihak, tentera dan RSF, dituduh menyasarkan orang awam termasuk petugas kesihatan, serta mengebom kawasan kediaman secara sewenang-wenangnya.
Pertempuran semakin sengit dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Port Sudan, pusat kerajaan yang berpihak kepada pasukan tentera, mengalami gangguan bekalan elektrik selepas serangan dron oleh RSF mengenai empangan hidroelektrik di utara.
Konflik tersebut meragut sehingga 150,000 nyawa, menyebabkan lebih 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, dan mendorong ramai penduduk Sudan ke ambang kebuluran.– AFP










