TOKYO: Sekolah di Jepun mencatatkan rekod jumlah permohonan cuti oleh guru akibat penyakit mental, menurut data kerajaan semalam.
Seramai 7,119 guru mengambil cuti antara April 2023 hingga Mac tahun lalu, menjadikannya rekod tertinggi untuk tiga tahun berturut-turut, lapor Kyodo News.
Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun berkata, angka itu merangkumi 0.77 peratus daripada keseluruhan guru di sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas serta sekolah pendidikan khas atau satu daripada setiap 130 guru.
Tempoh itu juga mencatatkan rekod 788 guru berhenti dalam masa setahun akibat penyakit mental.
Data turut menunjukkan negara dengan populasi sekitar 125 juta itu mencatatkan 320 kes dalam kalangan guru yang menghadapi tindakan tatatertib berhubung jenayah seksual.
Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk memperbaiki keadaan guru dengan menambah kakitangan dan mengurangkan beban kerja susulan peningkatan kes penyakit mental.
Ia juga berusaha untuk memperkenalkan langkah bagi menghalang pesalah seksual yang disabitkan daripada terus berkhidmat.- AGENSI











