MENURUT definisi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), keterjaminan makanan adalah kebolehan fizikal dan ekonomi dalam mengakses terhadap makanan yang mencukupi, selamat serta berkhasiat yang memenuhi keperluan pemakanan serta pilihan bagi mencapai kehidupan yang aktif dan sihat.
Walaupun kemajuan telah dicapai, kelaparan global masih berterusan, dengan berjuta-juta individu tidak mempunyai akses yang konsisten kepada makanan berkhasiat dan selamat.
Konsep halal, berdasarkan penekanan pada kebersihan, sumber yang beretika dan jaminan kualiti, ia menawarkan jalan untuk menangani cabaran ini dengan mempromosikan sistem yang melindungi integriti dan keterjaminan makanan melalui ekosistem halal yang kukuh dan matang.
Oleh itu, industri halal memainkan peranan penting dalam bukan sahaja memenuhi tuntutan agama dan sumbangan ekonomi negara, malah membantu dalam usaha global untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
SDG 2 menyasarkan sifar kelaparan, mencapai keterjaminan makanan dan penambahbaikan nutrisi makanan selain menggalakkan pelestarian pertanian pada 2030, sekali gus menjadikan keterjaminan makanan sebagai aspek utama yang penting.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, konsep makanan halal yang berlandaskan prinsip Islam tentang kesucian, keutuhan dan tanggungjawab etika, dianggap sebagai kerangka penting yang selari dengan objektif pembangunan lestari.
Walaupun halal bukanlah untuk menangani kelaparan, namun konsep halal itu adalah memenuhi dalam mencapai objektif integriti dan keterjaminan makanan. Halal yang bermaksud ‘dibenarkan’ adalah merujuk kepada ‘makanan yang dibenarkan’ untuk dimakan oleh umat Islam berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh hukum syarak.
Islam adalah teliti dalam segala aspek termasuk makanan untuk menjaga kemaslahatan umatnya dalam memenuhi prinsip maqasid syariah bagi memelihara kesejahteraan manusia dalam kehidupan sejagat.
Antara langkah untuk mencapai kelestarian melalui konsep halal adalah melalui pematuhan terhadap standard dan garis panduan halal dalam melaksanakan pensijilan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Pensijilan halal merangkumi proses ketat dalam menjamin keterjaminan makanan dan amalan beretika, bermula dari ladang hingga ke meja. Prinsip ini secara semula jadi selari dengan matlamat SDG 2 untuk menggalakkan amalan pertanian yang berdaya tahan, mengurangkan pembaziran makanan dan memastikan akses saksama kepada makanan berkhasiat.
Walaupun pelaksanaan pensijilan halal bersifat sukarela, namun ia menuntut sikap tanggungjawab pihak pengeluar makanan dan pengusaha restoran untuk melaksanakannya dengan halal melalui pematuhan prosedur dan garis panduan halal yang ditetapkan oleh Jakim.
Ini kerana pensijilan halal perlu meliputi semua aspek yang bukan sahaja bertepatan dengan kehendak halalan toyyiban, malah seiring dengan matlamat untuk menjamin keterjaminan makanan dan amalan beretika seperti proses, penyediaan, peralatan dan bahan makanan demi kebaikan terhadap pengguna.
Oleh yang demikian, pihak pengeluar makanan dan pengusaha restoran adalah tonggak utama dalam mencapai ekosistem halal. Pematuhan terhadap standard halal bukan sahaja memenuhi keperluan agama, tetapi juga sejajar dengan seruan global untuk pengeluaran makanan yang beretika dan menjamin keselamatan masyarakat sejagat.
Pengeluar makanan dan pengusaha restoran memainkan peranan yang penting dalam menyokong hasrat kerajaan dan seruan global dalam mencapai kelestarian melalui SDG 2. Selain daripada mematuhi pelaksanaan pensijilan halal, pengusaha makanan juga boleh mengamalkan produk atau menu makanan sihat dan mengurus sisa makanan dengan lebih cekap serta meletakkan caj tambahan bagi pelanggan yang gagal menghabiskan makanan dengan baik.
Pihak halal autoriti juga perlu menyokong pengusaha makanan melalui ledakan teknologi masa kini. Ini termasuk pihak Jakim boleh mengemaskini status atau permohonan sijil halal oleh pengusaha makanan dengan memaparkan status halal tersebut menerusi imbasan kod QR pada setiap pintu masuk premis makanan selain mempercepatkan prosedur mendapatkan sijil halal.
Ini dapat membantu pengguna mengetahui status makanan restoran dan aras amalan pematuhan halal. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan integriti makanan halal, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan lestari yang menyeluruh oleh pengusaha makanan dan restoran makanan halal.
Selain itu, pengguna juga memainkan peranan penting dalam mendorong permintaan terhadap pilihan makanan halal dan lestari. Dengan mengutamakan produk yang diperakui halal dan menyokong pengeluar yang beretika, mereka juga dapat mempengaruhi trend dan amalan pasaran melalui sikap cakna dalam pembelian dan menyokong pelabelan halal yang telus dan pengeluaran beretika. Pengguna juga perlu mengurangkan pembaziran makanan melalui tabiat penggunaan yang lebih berhemah.
Dengan merealisasikan tanggungjawab bersama ini, ia dapat memperkukuh ekosistem halal dan menyumbang kepada pembangunan lestari yang menyeluruh. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).











