Bawa semangat patriotisme ke 2025

Bawa semangat patriotisme ke 2025

SELURUH rakyat Malaysia hendaklah menjadikan nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara sebagai tema dalam membuka tirai dan melangkah tahun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA ini memerlukan rakyat yang patriotik bagi memastikan bangsa dan negara ini akan terus berkembang maju dan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain yang telah maju. Oleh hal demikian, menjelang tahun baharu 2025 yang akan kunjung tiba, elok nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara dibugarkan bersama-sama langkah kaki memasuki tahun baharu 2025. Semoga dengan nilai patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat tugas dan amanah berkaitan tatakelola dan pengurusan, ekonomi dan pembangunan, pendidikan dan sebagainya dapat dilaksanakan dan diselesaikan dengan baik.

Patriotisme Dalam Pendidikan
Sistem pendidikan negara mempunyai amanah yang amat besar dalam menyuburkan nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara. Hal ini telah dinukilkan dalam Aspirasi Murid, iaitu Identiti Nasional. Atas aspirasi ini, sistem pendidikan hendaklah dapat membina dan menyuburkan nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara dalam kalangan murid. Aktiviti dan inisiatif pendidikan yang dirancang serta dilaksanakan bukan semata-mata untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran. Sebaliknya, aktiviti-aktiviti pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan itu hendaklah membawa murid-murid berasa bertuah menjadi rakyat negara ini dan seterusnya berasa bangga menjadi rakyat yang mencintai bangsa dan negara Malaysia.

​Guru-guru mestilah dapat memberikan kesedaran kepada murid bahawa ilmu dan kemahiran yang diperoleh murid dalam sistem pendidikan negara adalah untuk mereka dapat menyumbang bakti kepada bangsa dan negara pada masa hadapan. Oleh itu, tidak kira tahap mana pun pencapaian pendidikan yang dicapai oleh murid-murid, mereka perlu disedarkan bahawa mereka ada tanggungjawab kepada bangsa dan negara ini kerana “negara kita tanggungjawab kita”.

​Guru menerusi aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah juga dapat memupuk sikap murid untuk menghargai dan meraikan kepelbagaian bagi memperkukuh perpaduan demi bangsa dan negara Malaysia tercinta. Tidak guna segala pencapaian yang digapai pada hari ini sekiranya tiada perpaduan dalam kalangan rakyat. Tanpa kerukunan hidup yang bersatu padu, ia menjadi ancaman kepada bangsa dan negara. Sememangnya aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah atau luar bilik darjah itu telah ditekankan bagi menjayakan usaha untuk menerapkan nilai kehidupan termasuk nilai patriotisme tersebut dalam kalangan murid. Penerapan nilai-nilai murni juga telah menjadi Aspirasi Murid dalam pendidikan negara, iaitu etika dan kerohanian.

​Sejajar ini, tidak hairan pendidikan negara berubah daripada pendidikan berorientasikan peperiksaan kepada pendidikan berorientasikan perkembangan atau pembangunan. Tempoh enam tahun di sekolah rendah dan tiga tahun di sekolah menengah tanpa orientasi peperiksaan yang bersifat high stake membolehkan matlamat bagi menyemai dan menyuburkan nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara dijayakan oleh guru-guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran yang autentik dan berdasarkan pengalaman sebenar murid. Kesungguhan dalam hasrat ini telah diperkukuh oleh Menteri Pendidikan, iaitu Fadhlina Sidek menerusi prinsip pendidikan manusiawi dan karamah insaniah yang terdiri daripada nilai adab, akhlak dan integriti. Matlamat orientasi pendidikan untuk perkembangan itu juga telah dijelaskan oleh Azman Adnan,

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), iaitu pendidikan adalah untuk memberikan sokongan kepada murid bagi memperkembangkan potensi diri. Oleh hal demikian, beliau menjelaskan lagi bahawa pentaksiran dalam tempoh pendidikan tersebut bukan memfokuskan lulus dan gagal tetapi kepentingan data daripada pentaksiran untuk mencernakan inisiatif sokongan tersebut. Inisiatif sokongan itu bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran tetapi termasuk usaha dalam pembinaan karakter dengan menyemai nilai patriotisme, pemupukan nilai akhlak terpuji, di samping membina kekuatan rohani dan keseimbangan emosi dalam kalangan murid.

​Patriotisme Dalam Projek Pembangunan
​Dalam konteks pendidikan, kerajaan komited untuk membangunkan sekolah baharu, menyelenggara sekolah-sekolah daif, membina dewan, membina dan menyelenggara asrama, menaik taraf tandas. Projek-projek ini adalah bagi menjamin kesejahteraan murid di sekolah.

​Misalnya, sebuah projek sekolah yang dirancang oleh kerajaan di kawasan yang jauh di pedalaman. Projek tersebut menjadi manifestasi bagi kerajaan melunaskan amanah, iaitu memberikan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan pedalaman tersebut. Sekiranya, pegawai kerajaan yang mengelola dan menguruskan projek tersebut memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi, tentu pegawai tersebut sentiasa cakna akan jadual kerja yang mesti dipatuhi oleh pihak kontraktor dan sentiasa memantau kualiti kerja. Semua aspek pengurusan projek diteliti rapi agar rakyat, khususnya anak-anak di kawasan pedalaman tersebut memiliki sekolah tanpa tertangguh dan kualiti binaan dan kemasan projek yang berkualiti.

​Demikian halnya juga pada pihak kontraktor yang membina projek sekolah tersebut. Pihak kontraktor yang memiliki semangat cinta akan negara atau nilai patriotisme yang tinggi sentiasa menginsafi bahawa projek sekolah yang dibangunkan itu bukan sekadar lambang kejayaan perniagaan tetapi mereka menyedari bahawa projek sekolah itu adalah sebuah harapan besar masyarakat dan anak-anak di kawasan pedalaman tersebut. Oleh hal demikian, fokus yang istimewa diberikan untuk menyiapkan projek sekolah mengikut jadual dengan kualiti binaan yang terbaik. Sikap ini ditunjukkan oleh pihak kontraktor sebagai manifestasi daripada sebuah kesedaran yang lahir daripada nilai patriotisme, iaitu membela pertiwi. Kesedaran untuk membela pertiwi tersebut merupakan nilai yang lebih tinggi dan mulia daripada menghambat keuntungan semata-mata.

​Sehubungan ini, sungguh penting pegawai kerajaan dan kontraktor di negara ini memiliki nilai patriotisme yang tinggi. Menerusi nilai patriotisme yang tinggi, negara berupaya lari daripada pelbagai isu seperti projek yang tidak berimpak tinggi, projek yang terlalu mahal dan projek yang tergendala bertahun-tahun atau “projek sakit” yang menyakitkan hati. Dalam masa yang sama, kerajaan juga mampu mengelakkan pembaziran wang negara.

​Di samping nilai-nilai murni lain yang menjadi pegangan, seluruh rakyat Malaysia hendaklah menjadikan nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara sebagai tema dalam membuka tirai dan melangkah tahun 2025. Kemeriahan percikan bunga api yang berwarna-warni bak pelangi dan arora indah di kaki langit tidak cukup untuk memastikan rakyat dan negara tercinta ini terbela. Bangsa dan negara tercinta ini hanya akan terbela dan berupaya berdiri maju apabila seluruh rakyat pada segenap lapisan dan hierarki memiliki nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara yang tinggi. Nilai patriotisme atau semangat cinta akan negara merupakan penawar bagi mengubati pelbagai penyakit dalam membina negara bangsa Malaysia Madani. – UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×