Budak lelaki tiga tahun maut 'dipenggal' abang kandung

Budak lelaki tiga tahun maut ‘dipenggal’ abang kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALIMANTAN BARAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tragis dipercayai akibat dipenggal oleh abang kandungnya di kawasan perumahan pekerja syarikat ladang kelapa sawit di Kalimantan Barat.

Insiden menggemparkan itu berlaku pada 25 Disember lalu ketika ibu bapa mereka keluar berniaga durian dan meminta seorang lagi anak lelakinya yang berusia 19 tahun menjaga adiknya itu.

Namun, sebaik pulang, pasangan itu mendapati mangsa tiada di rumah dan terdapat banyak kesan darah pada lantai.

Ketua Polis Ketapang, AKBP Setiadi berkata, ibu bapa mangsa segera melaporkan kejadian tersebut kepada pengawal keselamatan syarikat yang kemudian memaklumkan kepada Balai Polis Kendawangan sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).

Operasi mencari mangsa dijalankan oleh pihak polis bersama penduduk setempat dan abang sulung mangsa berusia 21 tahun ditanya mengenai keberadaan adiknya.

Menurut Setiadi, abang sulung mangsa mengaku telah membuang adiknya tetapi enggan memberitahu lokasi sebenar dan selepas 90 minit pencarian, mayat ditemui di kawasan pembuangan sampah berhampiran rumah mereka pada pukul 1.30 pagi.

Mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan, terbungkus karung dengan kepala yang sudah terpisah dari badan.

“Suspek sebelum ini pernah cuba melakukan penganiayaan terhadap mangsa, namun berjaya dihalang oleh ahli keluarga lain. Malangnya, kali ini kejadian tidak dapat dielakkan,” kata Setiadi.

Suspek kini ditahan di Balai Polis Kendawangan bersama barang bukti iaitu sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan kejam itu.

Menurut Setiadi, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian termasuk kemungkinan suspek mengalami masalah kesihatan mental.

Mayat mangsa kini telah dihantar ke pusat kesihatan untuk proses bedah siasat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×