SEOUL: Sebuah kafe unik di Seoul, Korea Selatan menawarkan pengalaman luar biasa untuk pengunjung yang ingin menikmati suasana hujan bersama secawan kopi.
Kafe Rain Report menawarkan suasana hujan yang turun tanpa henti setiap 15 minit dan pengunjung disediakan payung, but getah serta baju hujan.
Hujan mungkin kelihatan seperti konsep yang luar biasa untuk sebuah kafe, tetapi berdasarkan ulasan positif di Google, Rain Report sememangnya tempat istimewa.
Terletak di tengah kawasan kediaman di Itaewon, Rain Report dipenuhi dengan hiasan berwarna hitam dan dikelilingi pokok buluh, yang memberikan suasana seperti berada di luar bandar besar Seoul ketika hujan mula turun.
Kafe ini dilengkapi dengan tingkap panorama yang memberikan pemandangan jelas ke halaman dalamnya.
Setiap 15 minit, tidak kira apa juga ramalan cuaca harian, hujan lebat akan turun di Kafe Rain Report.
Ia bukan sekadar hujan renyai, tetapi hujan lebat buatan yang memberikan ketenagan kepada ramai pengunjung.
Sejak dibuka pada Mei tahun ini, kafe unik tersebut menjadi popular dalam kalangan pempengaruh media sosial yang ingin bergambar di tengah hujan.
Beberapa bulan selepas pembukaan rasmi pada Jun, kafe berkenaan masih tular di media sosial Korea Selatan.- AGENSI











