KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) berharap perancangan pembangunan rel kereta api menghubungkan antara Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Anthony Loke berkata, walaupun rancangan tersebut masih berada di peringkat awal tetapi MoT berhasrat mempercepatkan usaha berkenaan bagi memanfaatkan hubungan serantau.
Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra kelmarin turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel.
“Jika dilihat pada kenyataan bersama Malaysia dan Thailand, ada rujukan mengenai usaha meningkatkan hubungan rangkaian rel dan jalan raya.
“Jika kesalinghubungan dengan Thailand diperkukuh dan Thailand pula berhubung dengan Laos serta seterusnya China, ia pasti membantu merealisasikan rangkaian rel Pan Asia,” katanya selepas merasmikan Malaysia-China Summit 2024 di sini, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, Anwar dan Paetongtarn menekankan kepentingan mempercepatkan rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengangkutan rentas sempadan bagi memudahkan pergerakan barangan dan penumpang.
Anthony berkata, rangkaian rel Pan Asia sebenarnya sudah wujud termasuk ASEAN Express, kereta api kargo antara Malaysia dan China, bagaimanapun, rangkaian tersebut belum berkembang secara meluas kerana terdapat beberapa cabaran termasuk isu kastam dan pelepasan barangan.
“Antara cabaran utama ialah proses pelepasan barangan yang turut dibincangkan bersama Thailand. Kita berharap dapat memudahkan proses ini dan menjadikannya lebih cekap bagi mempercepatkan urusan transit barangan,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam meningkatkan perdagangan ASEAN menerusi pengoptimuman rangkaian rel.
“Konektiviti adalah faktor utama. Tanpa sistem pengangkutan efisien, perdagangan tidak dapat mengalir dengan lancar justeru kementerian menyokong usaha meningkatkan perdagangan kerana kita pemudah cara utama.
“Ketika ini, kebanyakan perdagangan dijalankan melalui laluan maritim dan berharap lebih banyak barangan dapat diangkut melalui kereta api, selaras dengan agenda Malaysia memacu konektiviti ASEAN,” katanya. – UTUSAN










