Dunia reka cipta popularkan kembar

Dunia reka cipta popularkan kembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT dalam reka cipta menjadikan pasangan kembar, Muhammad Amin dan Muhammad Abid Othman, 24, popular di media sosial.

Kreativiti dan inovasi yang dimiliki berjaya memberi inspirasi kepada ramai golongan muda untuk mengikut jejak langkah sama,

Menceritakan permulaan mereka, Muhammad Amin berkata, minat pada bidang itu dipupuk sejak kecil lagi.

“Pada masa itu, kebanyakan projek yang dihasilkan adalah menggunakan bahan-bahan terpakai.

“Ilham itu ada kalanya datang secara spontan atau daripada ayah dan media sosial,” katanya baru-baru ini.

Baginya, perkongsian yang dibuat di platform TikTok itu bukan untuk hiburan semata-mata.

Sebaliknya, untuk mendidik masyarakat agar sentiasa berkreativiti dan berinovasi walaupun hanya menggunakan barangan di rumah.

“Kami mahu menyuntik semangat pada anak muda, untuk mencipta sesuatu yang bermanfaat.

“Sebagai contoh, kami pernah menghasilkan lampu daripada bahan-bahan terpakai di samping mengubah suai banyak barangan lama,” katanya.

Pasangan kembar seiras ini turut diiktiraf sebagai pemenang kategori Education Creator of The Year dalam Anugerah TikTok 2024 lalu.

CABARAN
Antara cabaran utama bagi aktiviti reka cipta ini adalah kos dan masa.

Katanya, perancangan teliti perlu dibuat, terutama apabila ia melibatkan bahan-bahan terpakai bagi mengurangkan perbelanjaan.

Selain itu, kesuntukan masa juga sering menjadi halangan, terutamanya apabila mereka perlu menyeimbangkan antara projek DIY dan komitmen lain dalam kehidupan seharian.

“Kadang-kadang, kami perlu mengeluarkan modal sendiri untuk membeli bahan.

“Kebiasaannya, untuk satu video yang berdurasi satu minit, ia boleh mengambil masa sehingga dua minggu untuk siap” jelas Muhammad Abid.

Lulusan rekaan industri ini bersyukur kerana usaha mereka mendapat reaksi positif daripada banyak pihak termasuk kalangan ibu bapa, generasi muda dan kanak-kanak.

Ia sekali gus menyuntik motivasi mereka untuk terus berkarya dan mencipta kandungan yang bermanfaat.

“Kami bersyukur kerana penonton menghargai apa yang kami buat. Setiap komen positif dan sokongan yang diterima memberikan kami lebih semangat untuk terus berkarya,” katanya.

 

NILAI PENDIDIKAN
Pasangan kembar itu juga memberi tumpuan kepada kandungan video yang mempunyai nilai pendidikan.

Menurut mereka, penonton bukan sahaja ingin melihat hasil akhir sesuatu projek tetapi juga perjalanan di sebaliknya.

Oleh itu, setiap kandungan reka cipta dihasilkan di TikTok memberi penekanan kepada proses penciptaan dari awal hingga akhir.

“Penonton suka melihat bagaimana sesuatu projek dibuat, langkah demi langkah.

“Ia memberi mereka lebih pemahaman tentang usaha yang diperlukan dan akhirnya mahu mencuba sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, penglibatan dalam dunia reka cipta dapat menggalakkan seseorang berfikir di luar kotak.

Dalam masa sama, ia mendidik individu untuk mencari penyelesaian dan menggunakan apa yang ada di sekeliling.

“Nilai-nilai ini sangat penting dalam membentuk minda kreatif, terutama bagi generasi muda,” ujarnya.

Inisiatif pasangan kembar ini sekali gus membuktikan yang kreativiti adalah kunci untuk mencipta peluang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×