KAJIAN tentang asal usul dan perkembangan sesuatu perkataan amat menarik walaupun kita bukan pakar serta peminat bidang linguistik.
Bidang etimologi membantu kita memahami bagaimana sesuatu perkataan mengalami perubahan dan menjadi sebahagian daripada kosa kata bahasa lain.
Bidang kajian ini amat sesuai dalam konteks bahasa Melayu yang menerima pengaruh bahasa-bahasa asing dari dulu hingga kini.
Saya ada membicarakan dalam ruangan ini tentang pengaruh bahasa Sanskrit (29 Oktober 2022 dan 17 Disember 2022), Tamil (18 September 2021), Belanda (19 Oktober 2024) serta Portugis (26 Oktober 2024).
Penerbitan kamus etimologi masih kurang diusahakan di Malaysia. Kamus Etimologi Bahasa Melayu (1997) oleh Chong Mun Wah ialah yang pertama.
Manakala S. Nathesan yang menulis tentang linguistik di majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai 1988 menghasilkan buku Etimologi Bahasa Melayu (2015).
Terkini, DBP menerbitkan Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (2024).
Pada bahagian pengantar, dinyatakan kamus asal usul kata bahasa Melayu yang mencakupi kata warisan dan kata pinjaman masih belum pernah disusun atau diterbitkan.
Kata-kata ini menimbulkan pertanyaan dalam diri saya sewaktu membaca ketiga-tiga buku yang dinyatakan di atas. Mustahil DBP tidak menyedari kewujudan buku selenggaraan Mun Wah. Tambahan pula, buku itu dinyatakan di halaman bibliografi (sumber rujukan) pada kamus etimologi terbitan DBP.
Satu lagi perkara yang menghairankan dan mengecewakan ialah tindakan DBP tidak mengundang Nathesan menyertai sidang penyunting bagi kamus etimologi ini.
Sebagaimana dinyatakan dalam buku Kavya Sastra (2021), Nathesan merupakan Munsyi Dewan dan sudah menulis 12 buku berkaitan bahasa Melayu, termasuk Kata Pinjaman Terpilih dalam Bahasa Melayu (2018).
Nathesan juga menulis siri rencana mengenai asal usul kata-kata bahasa Melayu di majalah Dewan Bahasa sepanjang 2014. Mustahil DBP terlepas pandang tentang kewujudan tokoh penting ini.
Tambahan pula, buku Etimologi Bahasa Melayu tulisan tokoh linguistik itu memperincikan pengaruh bahasa Sanskrit, Hindi, Tamil, Malayalam, Cina, Arab, Parsi, Portugis, Belanda, Inggeris dan sebagainya terhadap perkembangan bahasa Melayu.
Anehnya, tidak ada satu pun buku tulisan Nathesan dianggap layak dijadikan rujukan dan dimasukkan dalam bibliografi kamus etimologi terbitan DBP.
“Ada pendapat menyatakan bahawa bahasa Melayu asli hanya terdiri daripada tiga patah perkataan iaitu padi, besi dan babi.” Demikian ditulis Mun Wah pada pendahuluan kamus etimologi susunannya. Kata-kata itu pasti mengundang kemarahan pihak tertentu.
Akan tetapi, saya melihatnya sebagai teknik bijak menarik minat pembaca untuk mengetahui asal usul, sejarah dan perkembangan kosa kata Melayu.
Perkataan terawal yang saya cari dalam kamus etimologi sulung terbitan DBP ialah bahasa dan bangsa. Tentu sahaja kita tahu ia berasal daripada bhasa dan vamsa dalam Sanskrit seperti saya huraikan di ruangan ini pada 13 Mei 2023.
Namun begitu, apakah pula penerangan DBP? Cukup memeranjatkan kerana kata bahasa dan bangsa tidak dimasukkan dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan. Hanya ada penerangan bagi kata bangsawan.
Mujurlah ada penjelasan etimologi yang jelas dan terperinci untuk bahasa dan bangsa dalam buku susunan Mun Wah yang turut menjadi rujukan sidang editor kamus etimologi terbitan DBP.
Dari manakah asal usul perkataan seperti catur, dewan, empuk, guru, isteri, maha, mangga, negeri, raja, seloka, sujana, syurga, wanita dan wisma?
Maaf, DBP tidak ada niat, kemahuan, iltizam dan usaha untuk membantu anda mengetahui semua itu.
Namun begitu, jika anda ingin tahu aspek etimologi bagi perkataan-perkataan di atas, rujuklah buku susunan Mun Wah dan diterbitkan Fajar Bakti.
Bagi perkataan ayah dan emak, Mun Wah menjelaskan ia bersumberkan bahasa Tamil (ayya dan amma) tetapi DBP menegaskan ia berasal daripada bahasa Melayu-Polinesia Purba.
Kata bapa tiada dalam kamus etimologi DBP tetapi asal usulnya dihurai dalam buku Mun Wah.
Begitu juga kata dara yang memiliki asal usul berbeza dalam kedua-dua buku. Sesungguhnya, penerangan dalam buku terbitan Fajar Bakti lebih menyakinkan dan menepati maksud.
Huraian etimologi bagi kelawar juga dangkal dalam buku DBP. Hanya dikatakan perkataan ini diwarisi daripada kata bahasa Melayu-Polinesia Barat Purba tanpa sebarang huraian.
Bandingkan dengan penerangan Mun Wah: “Perkataan ini dipinjam daripada kata Jawa, kelawar. Ia berasal daripada gabungan kata Sanskrit, kala (Dewa Perosak) dan kata Jawa, lwar (lebar atau luas).”
Kata purba tiada dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan tetapi Mun Wah turut menerangkan mengapa purva (Sanskrit) mengalami perubahan dalam bahasa Melayu.
Istilah etimologi datang daripada kata etymologia (Latin) iaitu gabungan etymon (maksud sebenar) dan logia (kajian). Menurut Nathesan, bidang etimologi mengkaji asal usul perkataan, rangkai kata, imbuhan dan bentuk bahasa serta perkembangannya.
Maklumat etimologi dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan diakui sama dengan apa yang terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (2020). Khabarnya, diberikan huraian agar lebih jelas dan mesra pengguna.
KETINGGALAN
Para pakar linguistik dan etimologi yang menguruskan kamus terbaharu DBP mengaku kosa kata bahasa Melayu turut meminjam perkataan dari India seperti bahasa Bengali, Gujarat, Hindi, Malayalam, Marathi, Oriya, Sindhi, Sanskrit, Telugu, Tamil dan Urdu.
Anehnya, terlalu banyak perkataan yang asal usulnya daripada bahasa-bahasa dari India ‘tercicir’ dalam kamus etimologi ini.
Saya selesai meneliti Kamus Etimologi Bahasa Melayu oleh Mun Wah, Etimologi Bahasa Melayu oleh Nathesan dan Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan.
Amat jelas DBP jauh ketinggalan dalam usaha membantu masyarakat pelbagai kaum di Malaysia memahami asal usul perkataan dan istilah yang digunakan dalam urusan seharian.
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











