Dilema istilah bahasa Melayu

Dilema istilah bahasa Melayu

ADILAH penutur bahasa Melayu bagi melambangkan jati diri bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Zaman sains dan teknologi bukan sahaja menuntut kita sebagai penutur Bahasa Melayu bersedia dengan cabaran baharu menempuh gelombang kemajuan semasa.

Namun, sesuai dengan istilah teknologi atau kaedah baharu, banyak perlu dilakukan oleh pihak tertentu yang pakar bidang masing-masing bergantung kepada bidang tujahan masing mereka.

Teknologi berasal daripada perkataan Greek technique yang bermaksud kaedah baharu.

Bermakna kita meminjam bahasa yang banyak untuk kegunaan bahasa Melayu termasuklah sains yang juga perkataan Greek scientia yang bermaksud maklumat.

Menyebut kereta lereng, tetuang udara dan mata- mata mungkin agak asing sehinggalah bahasa Inggeris digunakan secara meluas dan diserap ke dalam bahasa Melayu.

Kereta lereng sekarang dipanggil basikal, tetuang udara adalah radio manakala polis dahulunya ialah mata-mata, dan ini sekadar beberapa contoh.

Justeru, penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu banyak, terutama apabila kita berdepan dengan bidang sains dan teknologi yang bukan reka cipta kita.

Istilah sains lain seperti komputer, satelit, klon juga adalah perkataan Inggeris. Barangkali penggunaan Inggeris terpaksa digunakan kerana kita tidak cukup perbendaharaan kata dan bukan kita yang mencipta teknologi atau barangan berkenaan. Masih banyak isu di sebalik peristilah ini terutama apabila sains menjadi sebahagian kehidupan kita.

Maka apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP dan Persatuan Penterjemah Malaysia dengan sokongan Petronas menganjurkan Persidangan

Antarabangsa Peristilahan (PERANTIS) 2024, baru-baru ini, selepas 35 tahun diadakan, ia menjadi wadah atau pelantar terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Berdasarkan ucapan perasmian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor dalam program tersebut. universiti berkenaan telah mewujudkan sebuah jawatankuasa Penataran Bahasa Melayu (Penabayu) yang secara khusus bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada 2011.

Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab menyelaraskan aktiviti terjemahan karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu, selain menjalankan kajian berterusan mengenai pendaulatan bahasa dan membentuk istilah dalam bahasa Melayu.

Prof. Emeritus Dr. Abdul Razak Hamdan, selaku pembentang ucap utama salam persidangan berkenaan merupakan salah seorang pakar bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) UKM giat terlibat dalam penggubalan istilah.

Persidangan tersebut menghimpunkan pakar bahasa, pakar peristilahan, penggiat bahasa, para pengkaji dan pelajar, yang bukan sekadar untuk membentangkan hasil kajian dalam bidang peristilahan, tetapi untuk sama-sama memahami dan menghayati akan kepentingan istilah, khususnya dalam era AI dan komunikasi global seperti hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui peristilahan adalah komponen asas yang sangat penting dalam perancangan bahasa, terutamanya dalam usaha memperkukuh kedudukan bahasa

Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa ekonomi.

Ini kerana katanya, bagi membolehkan bahasa Melayu terus relevan dan seiring dengan perkembangan zaman, bahasa Melayu perlu bersifat dinamik dan progresif melalui pembentukan istilah-

istilah baharu dalam pelbagai bidang.

Persidangan tersebut menumpukan kepada beberapa objektif iaitu membincangkan aspek teoretis dan praktis ilmu peristilahan pada masa kini, mempertemukan sarjana bahasa untuk berkongsi ilmu serta kepakaran menggiatkan pemikiran tentang peristilahan. Inisiatif menghembangkan ilmu peristilahan bukan baharu.

Seperti kata Abdul Razak inisiatif peristilahan DBP bermula sekitar 1970-an, yang pada ketika itu, teknologi AI berada pada era malap yang dikenali sebagai “Musim Sejuk AI” akibat kekangan teknologi pengkomputeran.

Natijahnya kata beliau buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu edisi baharu yang diterbitkan pada 2004 menunjukkan pedoman ini telah pun mantap.

Kata beliau, jumlah istilah bahasa Melayu (BM) yang dicipta kini melebihi 1 juta. Begitu juga dengan laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu semakin tersohor seantero dunia sebagai rujukan utama istilah dan kamus bahasa Melayu..

Menjadikan bahasa ilmu, dan komersial bukan mudah kerana liku perjalanan masih jauh, apatah lagi warga kita, majoritinya bukan pencinta bahasa sebaliknya mengagungkan bahasa asing yang disifatkan lebih komersial dan mencakupi segenap bidang ilmu.

Lebih mendukacitakan, tonggak penegak dan memartabatkan bahasa Melayu diserah bulat bulat kepada DBP, seolah olah agensi tersebut sahaja ‘imam bahasa’ manakala yang lain menggunakan bahasa Melayu dalam majlis majlis rasmi atau sekiranya selesa berbuat demikian supaya kelihatan moden dan mengikut zaman.

Yang kita bimbangkan semakin berkembang bidang sains teknolog dan keusahawanan , kita tertinggal kerana kekurangan istilah.

Ramai usahawan kita pun sudah segan menggunakan perkataan usahawan sebaliknya selesa dan kelihatan terkehadapan jika perkataan preneur digunakan. Sebagai contoh usahawan tani kononnya lebih menepati dan terkehadapan jika diganti dengan agropreneur.

Mungkin mereka sukar mendapat pinjaman atau kemudahan bank jika mereka kekal sebagai usahawan tani.?

Penerokaan dalam bidang sains dengan penemuan penemuan teori dan inovasi baharu menjadi cabaran terbesar memartabatkan BM sebagai bahasa ilmu ,sains dan teknologi dan akan muncul istilah asing baharu bagi memberi nama kepada teknologi dan inovasi baharu ini. Cara mengatasinya adalah mencipta istilah baharu berdasarkan bidang bidang ini dan jika tidak ada, kita terpaksa menggunakan bahasa asing yang diserap ke dalam bahasa Melayu.

Dulu ketika teknologi robot tidak begitu popular , kita tidak mendengarnya apakah teknologi tersebut.

Perkataan robot sebenarnya berdasarkan robota berasal daripada bahasa Slovak bermaksud pekerja.

Kemajuan sains yang begitu pantas, dan jika tidak dikejar walaupun sederap langkah oleh istilah baharu maka akan menyebabkan bahasa kita akan dianggap tidak ada nilai ilmu dan komersial.

Bagi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia Dr. Hassuria Che Omar, tidak timbul isu bahasa Melayu tidak komersial, bukan bahasa ilmu dan bahasa sains kerana istilah bahasa ini boleh digunakan perlahan- lahan sehingga satu istilah yang diterima pakai dan diiktiraf DBP diwujudkan. Sebelum diiktiraf DBP istilah tersebut hanyalah sekadar jargon.

Kata beliau, ada perkataan tertentu yang digunakan secara biasa mengikut bidang tetapi ia bukanlah istilah yang diterima.

Jargon kata beliau bermaksud bahasa yang digunakan dalam bidang tertentu tetapi bukanlah telah diiktiraf penggunaannya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Persekutuan Penterjemah Antarabanga (FIT), yang beribu pejabat di Paris berkata, lambakan bahasa Melayu yang banyak ke dalam sistem atau internet sebenarnya yang menggerakkan teknologi untuk membantu kita dan bukan sebaliknya.

Oleh itu, kata beliau banyakkan menulis, melapor dan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap aspek atau bidang kehidupan.

“⁠Pakar bidang dan tokoh-tokoh serta pemain industri dalam bidang tertentu diharap untuk terus membantu memberikan pandangan atau nasihat yang bersesuaian untuk istilah digubal dalam bahasa Melayu, serta penggunaan bahasa bersesuaian bidang menjadikan bahasa ini terus dapat diperkasa dalam era teknologi termasuk AI buatan, “ ujarnya.

Menurut Hassuria, apa yang penting budayakan penggunaan istilah bahasa Melayu buat sementara jika tidak ada istilah sesuai sehingga yang rasmi diwujudkan.

Apabila kita membudayakan penggunaan bahasa Melayu, maka lama-kelamaan semakin biasa menggunakannya, tiada lagi rasa kekok atau asing.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari jumlah istilah dalam bahasa Melayu ketika ini berjumlah 910,774 istilah berdasarkan rekod buku terbit dan dalam talian serta istilah semasa sebanyak sehingga Julai lalu

“Banyak data-data istilah lama tidak masuk dalam pangkalan data,” ujarnya sambil memberitahu jumlah penutur Bahasa Melayu kini kira-kira 300 juta orang.

Adalah penting supaya satu jawatankuasa istilah diaktifkan semula dan bekerjasama dengan pihak pihak pemegang taruh untuk meneruskan fungsinya yang sebelum ini dan memantau semua kegiatan berkaitan dengan bahasa Melayu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×