ALOR SETAR: Tiga pengawal keselamatan tidak sempat berjoli dengan wang majikan bernilai RM200,000 yang konon hilang dilarikan penyamun, apabila mereka ditahan setelah disyaki pecah amanah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 28 hingga 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan di sini membuat laporan polis bahawa guni berisi wang tersebut dilarikan penyamun pada pukul 10.45 pagi, kelmarin.
“Polis pada mulanya menerima satu laporan kejadian samun di Balai Polis Kota Setar daripada pengawal keselamatan itu melibatkan van syarikat. Keterangan yang diberikan oleh suspek meragukan terutama apabila mereka mengambil masa hampir dua jam sebelum membuat laporan polis. Hasil siasatan mendapati kejadian samun itu tidak berlaku.
“Dalam tempoh hampir tiga jam selepas siasatan dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek ini pihak polis berjaya menemukan semula wang RM200,000 di beberapa lokasi di daerah ini. Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau menambah, polis menjalankan siasatan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek termasuk dua daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.
“Ketiga-tiga mereka sudah lama bekerja dengan syarikat tersebut iaitu antara 10 hingga 14 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah. Polis masih menyiasat motif mereka.
“Susulan itu, pihak syarikat keselamatan itu juga membuat satu laporan polis untuk tindakan lanjut. Ekoran penahanan itu polis menganggap kes tersebut selesai dan siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk cadangan pertuduhan,” katanya.
Katanya, suspek kini direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah. – UTUSAN











