PONTIAN: Didikan sejak zaman persekolahan menjadikan kerja-kerja kebun sudah sebati dalam dirinya walaupun pernah berkhidmat sebagai anggota polis selama 31 tahun sebelum ini.
Selepas bersara daripada pasukan keselamatan itu pada 2020, Md. Salman Daud, 58, kini meneruskan usaha dalam bidang pertanian dengan menanam nanas dan kelapa sawit.
Kini dia meneruskan usaha menanam nanas MD2 di tanah hampir dua hektar dengan 68,000 pokok yang dimulakan sejak 2018, dua tahun sebelum bersara dan permintaan tinggi terhadap nanas MD2 menyuntik lagi semangatnya dalam bidang tersebut.
“Saya sudah biasa dengan kerja-kerja menanam nanas dengan didikan arwah ayah, Daud Aman, semuanya dapat dilakukan dengan mudah sejak awal penanaman hingga masa dituai. Pokok nanas MD2 mengambil masa setahun empat bulan untuk matang,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Puteri Menangis, dekat sini.
Md. Salman mengakui nanas MD2 mudah ditanam kerana tidak perlu penjagaan rapi, cukup dengan tugas meracun dan membaja supaya tidak mudah rosak.
“Namun, buah nanas MD2 perlu dilindungi daripada terkena terlalu banyak cahaya matahari dengan dipakaikan ‘topi’ kerana varieti nanas ini mempunyai kulit yang nipis.
“Terkena cahaya matahari yang terlalu banyak boleh menyebabkan buah dijangkiti penyakit mata hantu, nanas MD2 perlu ditutup atau dipakaikan ‘topi’ selepas berusia lebih kurang dua bulan,” katanya sambil memberitahu mampu memperoleh pendapatan RM50,000 semusim.
Selain menjual buah nanas MD2 secara segar dengan harga antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram (kg), Md. Salman turut menjual anak benih dengan harga antara RM1 hingga RM1.50 sepokok. – UTUSAN











