TUGASAN sebagai pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) bukan penghalang untuk anak jati Perlis ini meneruskan perniagaan harumanis milik keluarganya.
Muhammad Adib Hashim, 29, tidak kisah bergelar petani muda dan berbakti kepada tanah demi memastikan kebun peninggalan arwah bapanya kekal subur.
Sejak April lalu hingga kini, lebih 100 kilogram harumanis telah dijual di kebun yang menempatkan 55 pokok di Chuping itu.
Anak ketiga ini turut berganding bahu dengan empat adik-beradiknya yang lain dalam menguruskan kebun tersebut dari segi logistik hingga ke pemasaran.
Katanya, minat pada bidang pertanian dipupuk hasil didikan bapanya, malah sejak kecil mereka diajar cara memahami tanah, bunga dan proses tumbuh-tumbuhan secara saintifik.
“Abah juga selalu bercerita tentang proses-proses sains yang berlaku di sekeliling kita antaranya bagaimana air bergerak dari satu sel ke sel lain dalam tumbuhan di samping kejadian osmosis dan pemindahan zat berlaku.
“Setiap penjelasan itu dapat mengajar saya tentang ilmu sains, di samping mengasah daya berfikir secara logikal dan kritikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas penuntut bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, legasi yang diteruskan itu bukan hanya demi memajukan perniagaan, sebaliknya dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan.

RUJUK KAJIAN
Menguruskan kebun bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan cabaran seperti serangan serangga dan penyakit tanaman.
Justeru, bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran dalam bidang itu, Muhammad Adib dan adik-beradiknya sentiasa membaca dan merujuk pada kajian-kajian yang ada.
Antaranya, dari Jabatan Pertanian dan institusi pendidikan yang menjalankan penyelidikan berkaitan pertanian.
“Kami takut melakukan kesilapan sama ada dalam menguruskan pembungaan atau mengawal serangan serangga.
“Oleh itu, kami banyak membaca kertas penyelidikan tentang harumanis, termasuk dari universiti Thailand, untuk memastikan kebun diuruskan dengan betul,” ujarnya.
Menceritakan rutin belajarnya, Muhammad Adib berkata, jadualnya kini lebih fleksible berbanding sebelumnya.
“Sebagai pelajar PhD, saya tidak selalu terikat dengan kelas dan saya boleh mengatur masa untuk bertemu penyelia di samping membuat penyelidikan sendiri.
“Kesempatan itu saya manfaatkan untuk kembali ke Perlis dan menguruskan kebun keluarga,” katanya.

MISI POPULARKAN HARUMANIS
Harumanis merupakan buah yang unik kerana baunya wangi dan rasanya manis, berbeza dengan mangga lain.
Bagi mempromosikan raja mangga itu, Muhammad Adib aktif menggunakan platform media sosial TikTok termasuk berkongsi pengetahuan berkaitan tips penjagaan.
“Pada mulanya, saya hanya ingin berkongsi maklumat, tetapi saya terkejut apabila sambutan sangat positif,” katanya.
Misi pemuda ini adalah untuk memperkenalkan harumanis kepada lebih ramai orang.
Harapannya agar seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati keistimewaan dan keenakan buah tersebut.











