Israel keluar notis minta komuniti ultra-Ortodoks sertai tentera

Israel keluar notis minta komuniti ultra-Ortodoks sertai tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel mengeluarkan notis panggilan kepada lebih ramai anggota komuniti ultra-Ortodoks untuk menyertai pasukan pertahanan ketika ia memperluaskan perang di sempadan selatan dan utara negara itu.

Langkah ini dijangka mencetuskan ketegangan baharu antara golongan agama dan sekular di Israel.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Agung Israel pada Jun lalu, yang memutuskan Kementerian Pertahanan tidak lagi boleh memberikan pengecualian secara menyeluruh kepada pelajar seminari Yahudi daripada perkhidmatan tentera.

Dasar pengecualian tersebut diamalkan sejak penubuhan Israel pada tahun 1948 ketika jumlah komuniti ultra-Ortodoks atau Haredi masih kecil.

Jumaat lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan 7,000 anggota komuniti ultra-Ortodoks akan menerima notis secara berperingkat bermula Ahad.

Langkah ini termasuk kerjasama dengan pemimpin komuniti bagi memastikan anggota tentera ultra-Ortodoks dapat mengekalkan gaya hidup beragama sepanjang perkhidmatan mereka.

Pada Julai lalu, tentera memanggil seramai 1,000 lelaki ultra-Ortodoks untuk menyertai pasukan pertahanan.

Bagaimanapun, perubahan dasar ini mendapat tentangan keras daripada dua parti agama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, sekali gus mewujudkan ketegangan dalam gabungan politik berhaluan kanan.

Pemimpin komuniti ultra-Ortodoks yang semakin berkembang pesat menegaskan paksaan pelajar seminari untuk berkhidmat bersama rakyat sekular termasuk wanita, boleh mengancam identiti mereka sebagai Yahudi beragama dan menurut laporan penyiar awam Israel, KAN, beberapa rabbi dilaporkan menggesa mereka yang menerima notis untuk menolak panggilan tersebut.

Langkah ini dilihat sebagai ujian kepada kestabilan politik dalaman Israel, di tengah-tengah konflik ketenteraan yang berterusan dengan Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lebanon. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×