DARIPADA pengalaman hidup yang penuh cabaran, Pengarah Urusan dan Pengasas Izzly Network Sdn. Bhd., Nor Dahlia Dahili, bersama suaminya berjaya mengembangkan sebuah jenama terkenal dalam makanan bayi dan kanak-kanak, IZZLY.
Menurut Nor Dahlia, perniagaan itu dimulakan pada 2015 setelah suaminya terlibat dalam kemalangan yang menjejaskan kemampuan bekerja.
“Ketika itu, saya masih seorang pelajar sarjana di UiTM Sungai Buloh dan suami saya bekerja sebagai pemandu teksi. Namun, selepas kemalangan tersebut, kami kehilangan sumber pendapatan utama keluarga.
“Ketika itu juga kami hanya bermula beroperasi dari rumah dan memulakan perniagaan dengan misi menyediakan makanan bayi yang sihat dan berkhasiat.
“Izzly memberi fokus terhadap makanan bayi kerana kebanyakan makanan komersial di pasaran mengandungi bahan sintetik dan pengawet yang kurang sesuai untuk kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nor Dahlia, mereka hanya menggunakan modal sebanyak RM100 pada awal perniagaan, namun kini IZZLY mampu mencapai jualan tahunan sebanyak RM10 juta.
“Kami berusaha memaksimumkan modal kecil itu dengan membeli bahan seperti ayam dan beras untuk mengeluarkan produk IZZLY.
“Syukur dengan rezeki diberikan, pada tahun pertama, perniagaan ini berjaya mencatat jualan RM100,000, kemudian meningkat kepada RM1.5 juta pada tahun kedua, RM3.6 juta pada tahun ketiga, dan mencapai hampir RM10 juta pada tahun kelima sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, permintaan yang tinggi mendorong syarikat tersebut untuk berkembang dari operasi di rumah ke lot kedai dan akhirnya ke sebuah kilang kecil.
“Mengambil kira kos sewa yang tinggi ketika menyewa di lot kedai, kami kemudiannya memohon bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mendapatkan premis kilang yang lebih besar.
“Pada 2022, kami berpindah ke kilang seluas 8,738 kaki persegi di MARA Halal Industrial Park,” katanya.
Nor Dahlia berkata, IZZLY kini mampu menawarkan sebanyak 43 unit penyimpanan stok (SKU) pelbagai jenis, merangkumi pelbagai produk makanan bayi yang sihat dan semula jadi.
“Dengan kemudahan yang memenuhi piawaian seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) dan halal, kami turut menawarkan peluang pengilang peralatan asal (OEM) atau pengilangan kontrak kepada usahawan lain yang ingin menghasilkan produk makanan bayi di bawah jenama masing-masing.
“Syarikat juga dalam perancangan untuk meluaskan dan mengukuhkan lagi jenama IZZLY ke negara jiran, walaupun produk kami sudah berada di pasaran mereka” katanya.
Tambahnya, dalam usaha mempromosikan industri makanan halal, IZZLY turut bekerjasama dengan usahawan MHIP untuk mengadakan jualan gudang pada akhir bulan ini.
“Acara Jualan Gudang ini bertujuan memperkenalkan MHIP sebagai pusat industri makanan halal dan menarik minat pengunjung serta pelancong untuk mengenali produk makanan tempatan,” katanya.-UTUSAN










