PUTRAJAYA: Lebih 3,700 mangsa pinjaman haram, along dengan nilai pinjaman berjumlah RM16 juta berjaya diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran, Darul Muttaqim (DM).
Jumlah itu direkodkan hasil inisiatif pertubuhan itu sejak tiga tahun lalu dalam menyediakan khidmat bantuan penyelesaian kes melibatkan along dan penipuan wang pinjaman tidak berlesen.
Lebih membimbangkan, ada antara mangsa seawal umur 15 tahun sudah terjerat dengan pinjaman along hanya semata-mata mahu membelanjakan teman wanitanya hidangan ikan siakap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran, Darul Muttaqim (DM), Fariz Izhar Adrus berkata, pada asalnya remaja berkenaan hanya meminjam sebanyak RM500 daripada along.
Namun, disebabkan tidak boleh membayar balik pinjaman, dia terjebak dengan 17 along lain sehingga jumlah pinjaman mencecah RM3,000.
“Kami mengendalikan kes along ini sekitar 60 kes sehari dengan 90 peratus adalah dalam kalangan orang Melayu di seluruh negara dalam lingkungan usia 15 hingga 60 tahun.
“Masih ada lagi banyak kes yang dalam penyelesaian. Ada antara mangsa juga adalah warga asing seperti Singapura, Filipina termasuk warga Palestin yang telah kami selamatkan daripada ancaman ah long,” katanya di sini semalam.
Fariz berkata, kes remaja tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dengan membantu membayarkan jumlah wang pinjaman yang dia dapat daripada along sahaja.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak membuat sebarang bayaran mengikut caj kadar bunga yang diminta along dengan persetujuan along sendiri mengikut kaedah yang ditetapkan.
Beliau berkata, pertubuhan itu merupakan satu-satunya pemberi khidmat nasihat yang sedia membayarkan wang pinjaman berdasarkan jumlah yang diterima mangsa tanpa perlu membayar kadar bunga atau caj tidak masuk akal.
Namun, katanya, mangsa perlu mematuhi syarat pertubuhan itu iaitu mereka perlu mengikuti pengajian fardu ain selama tiga bulan di negeri masing-masing di bawah pemantauan pihaknya.
“Setakat ini, kami dapat menghentikan ancaman along terhadap mangsa, ia bagi mengembalikan semula kehidupan yang lebih baik untuk mangsa dan keluarga pada masa depan.
“Sehingga hari ini, semua kes along yang kita tangani berjaya diselesaikan dan mangsa juga berada bersama di dalam komuniti DM bagi tujuan bimbingan selain memastikan mereka tidak mengulangi tabiat buruk seumpama itu,,”
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati sebelum terjerat dalam perangkap along walaupun hanya mahu membuat pinjaman sedikit kerana boleh merana kehidupan.
Katanya, modus operandi along kebanyakan menggunakan taktik scam dengan menggunakan nama bank atau mana-mana institusi kewangan kononnya mahu menawarkan pinjaman.
“Along ini banyak buat serangan mental, apabila mangsa takut, ada yang bertindak sampai jual anak atau melacurkan diri disebabkan duit,” jelasnya. – UTUSAN











