LONDON: United Kingdom (UK) menggandakan rangsangan bantuan kepada 113 juta pound (RM637.62 juta) untuk menyokong lebih sejuta penduduk yang terjejas akibat perang di Sudan.
Pakej pembiayaan baharu itu akan disasarkan kepada 600,000 rakyat di Sudan dan 700,000 lagi di negara jiran yang telah melarikan diri dari konflik itu.
“Konflik kejam di Sudan menyebabkan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan.
“Rakyat Sudan memerlukan lebih banyak bantuan, itulah sebabnya UK membantu menyediakan makanan, tempat tinggal dan pendidikan yang sangat diperlukan untuk golongan yang paling terdedah.
“UK tidak akan melupakan Sudan,” tegas Setiausaha Luar, David Lammy dalam kenyataan akhbar kerajaan.
Pertempuran tercetus pada April tahun lalu, antara tentera di bawah pemerintah de facto negara, Abdel Fattah Al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang diketuai oleh bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Dagalo.
Bulan lalu, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh pihak yang bertelagah menggunakan ‘taktik kelaparan’ terhadap 25 juta orang awam.
Tiga pertubuhan bantuan utama turut memberi amaran tentang ‘krisis kebuluran terburuk dalam sejarah’ apabila ribuan keluarga terpaksa memakan daun dan serangga untuk terus hidup.
Lammy dijangka melawat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan beliau akan memanggil Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) untuk memastikan lintasan sempadan penting Adre dibuka selama-lamanya bagi memudahkan penghantaran bantuan.
“Kami tidak boleh menyampaikan bantuan tanpa akses. Kebuluran tidak boleh digunakan sebagai senjata perang,” katanya.
Pakej pembiayaan baharu itu akan menyokong rakan kongsi PBB dan NGO dalam menyediakan makanan, wang, tempat tinggal, bantuan perubatan, air dan sanitasi.
Menurut kajian yang diterbitkan minggu ini, kematian dalam konflik itu sebahagian besarnya kurang dilaporkan dengan lebih banyak korban dicatatkan di Khartoum berbanding anggaran semasa untuk seluruh negara.-AFP











