NEW DELHI: India menguji peluru berpandu hipersonik buat pertama kali beberapa hari selepas China mempamerkan ketenteraan senjata nuklear terbarunya.
Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh berkata, hipersonik ialah sempadan baharu dalam teknologi peluru berpandu kerana ia terbang lebih rendah dan lebih sukar dikesan berbanding peluru berpandu balistik.
Jelasnya, ia juga boleh mencapai sasaran dengan lebih cepat dan boleh diarahkan untuk menukar sasaran pada pertengahan penerbangan.
“India mencapai kejayaan besar dengan berjaya menjalankan ujian percubaan penerbangan peluru berpandu hipersonik jarak jauh.
“Ini adalah detik bersejarah dan pencapaian penting yang meletakkan negara kita dalam kumpulan negara terpilih yang mempunyai teknologi ketenteraan yang kritikal dan canggih,” katanya.
New Delhi mengukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara Barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam pakatan Quad dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia.
India juga merupakan pembeli utama perkakasan ketenteraan Russia, termasuk sistem pertahan peluru berpandu S-400 Moscow, walaupun terdapat ancaman sekatan AS berhubung perjanjian berbilion dolar itu.
AS, Russia, China dan Korea Utara sudah menguji peluru berpandu hipersonik dan beberapa negara lain sedang membangunkan teknologi itu.
Penerbangan ujian itu dilakukan beberapa hari selepas China mempamerkan keupayaan penerbangan senjata nuklearnya yang semakin berkembang semasa pertunjukan udara, dengan jet pejuang J-35A dan dron serangan. -AFP










