Kualiti udara penyebab pekerja tidak produktif?

Kualiti udara penyebab pekerja tidak produktif?

jangkitan kuman mudah berlaku terutama dalam bangunan tertutup.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain kecederaan fizikal dan mental, keselamatan dan kesihatan pekerja juga perlu mengambil kira kualiti udara di tempat kerja.

Pengerusi Eksekutif ANSR Sanuvox, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkata, ini berikutan kualiti udara yang teruk dikhuatiri bukan saja boleh menjejaskan kesihatan pekerja tetapi pada masa sama akan menurunkan produktiviti pekerja secara tidak langsung.

“Sangat penting untuk memastikan udara di persekitaran tempat kerja bersih dan selamat untuk pekerja. Ada tiga komponen apabila bercakap mengenai kualiti udara yang selamat iaitu jangkitan, komponen kimia dan komponen fungus.

“Saya pernah terbabit dalam muzium yang menggunakan kimia pengawet untuk mengawet artifak di mana kakitangan mengadu mereka tidak boleh bernafas dan bau sesuatu yang busuk selain banyak fungus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Simposium Asia Pertama Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AIS-OSH) anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

Program itu disertai kira-kira 200 peserta daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Simposium itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan), Dr. Majahar Abd. Rahman. Turut hadir, Lagenda badminton negara, Datuk Dr. Misbuk Sidek, Presiden MSOSH, Ahmad Fakhrul

Anuar Ismail dan Peneroka Professional Polar, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

SIMPOSIUM itu menghimpunkan lebih 200 peserta simposium yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Katanya, paling mencabar adalah untuk mengawal jangkitan melalui udara kerana kuman tidak boleh dilihat secara mata kasar. Apabila kuman berada dan beredar di ruang udara ia mudah berjangkit kepada orang lain.

Jangkitan mudah berlaku terutama bagi sistem pengudaraan dalam bangunan tertutup yang dibekalkan oleh penyaman udara berpusat. Begitu juga dengan sistem pengudaraan yang terpisah. Ini kerana setiap individu di dalamnya berkongsi pengudaran dan udara yang sama pergi kepada orang lain juga.

“Pemindahan kuman melalui udara ini sukar untuk diatasi. Justeru penjagaan udara bersih sangat penting dalam keadaan tertentu menerusi pemantauan. Ada kajian dari Amerika Syarikat mendedahkan, kualiti udara di dalam bangunan lebih teruk daripada di luar iaitu tiga hingga lima kali ganda malah sehingga 20 kali ganda berbanding udara luar.

“Semua orang membawa virus dalam persekitaran di tempat kerja atau bangunan. Walaupun memakai pelitup muka, masih tidak boleh selamat daripada virus kerana pelitup muka N95 yang bermaksud 95 peratus hanya menghalang 5.0 mikron partikel. Manakala, penapis udara yang terbaik pula hanya menangkap saiz partikel 0.3 mikron sahaja. Namun saiz virus jauh lebih kecil iaitu 0.1 mikron saja,” katanya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, masalah kesihatan yang biasanya dikaitkan dengan kualiti udara tidak sihat seperti alahan, masalah pernafasan, kerengsaan mata, sinusitis, bronkitis dan pneumonia.

Bagi mengatasi masalah berkaitan udara, beliau menasihatkan ruang di tempat bekerja hendaklah selalu dibersihkan dengan cecair nyah kuman atau menggunakan teknologi terkini seperti ultra ungu. Kuman bukan saja terdapat di udara tetapi di permukaan perabot, tombol pintu, lantai dan dinding.

Pastikan tidak berbual dengan orang ramai sekiranya mempunyai gejala seperti selsema atau batuk semasa di dalam pejabat atau berbual dengan mereka yang mengalami gejala selsema atau batuk.

ATLET CEDERA MENINGKAT
Kes kecederaan dalam kalangan atlet sukan badminton negara ketika menjalani latihan meningkat sehingga 40 peratus berbanding lima peratus sebelum ini bagi tempoh latihan 120 jam sebulan.

Misbun Sidek mendedahkan peningkatan itu berkemungkinan disebabkan bentuk latihan secara pintas kerana desakan untuk melahirkan bakat baharu dalam arena badminton negara.

“Justeru, jurulatih terpaksa menjalankan latihan padat kerana sukar untuk mencari bakat baharu. Ia bukan perkara luar biasa malah ini juga berlaku di seluruh dunia. Kalau ada bakat baharu perlu didik mereka betul-betul.

“Atlet perlu dilatih dengan prinsip sukan badminton adalah sukan berlari, memerlukan ketahanan fizikal, kemahiran dan kebijaksanaan. Mereka juga dididik untuk bina stamina, ketahanan dan

kena melompat untuk buat smash. Malah pemain badminton Denmark, Viktor Axelson yang tinggi pun kena melompat,” katanya.

Misbun berkata, latihan intensif yang bermula seawal 5 pagi memerlukan pemain lebih berdisiplin dalam soal diet selain memastikan tidur yang cukup bagi mengelakkan risiko rebah dan maut ketika perlawanan atau latihan.

“Kes pemain meninggal di gelanggang adalah subjektif kerana mereka banyak mengambil ubat untuk tenaga dan sebagainya. Kadangkala tubuh tidak mampu bertahan.

“Atlet sukan kita pun ada yang rebah dan meninggal, akibat serangan jantung dan sebagainya kerana mungkin tidur lewat di sebelah malam dan terpaksa bangun awal untuk latihan,” katanya.

Selain itu, tidak makan dengan betul sebelum masuk ke gelanggang menyebabkan kadar karbohidrat dan gula dalam darah menurun. Apabila bermain melampaui had tenaga menyebabkan pening sehingga akhirnya rebah dan meninggal dunia serta merta.

“Saya nasihatkan pemain rehat dengan cukup dan tidur awal kerana mahu mereka bangun awal pagi. Di Indonesia, Korea dan sesetengah negara lain, jam 9 malam semua telefon dberikan kepada jurulatih. Hanya selepas latihan baru dipulangkan.

“Ini berbeza dengan negara kita. Sesetengah pemain ada lebih daripada satu telefon. Bagi satu, ada satu lagi. Jadi, bila mereka tidak tidur. Esoknya rasa sakit kepala, celaru dan rasa nak muntah.

Dalam badminton, tidur jam 1 pagi bangun jam 5 pagi, awak boleh mati bila berlatih,” katanya.
Bagi mengelakkan tekanan mental, Misbun menasihatkan atlet supaya tidak membaca komen-komen negatif netizen di media-media sosial.

Bijak berdepan cabaran

Mantan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemimpin perlu ada kemahiran mendengar, berkomunikasi dan mengambil selangkah ke hadapan.

Noor Hisham yang juga Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) berkata, pemimpin perlu mendengar dengan fakta dan data bagi meraih kepercayaan orang ramai untuk mematuhi arahan demi keselamatan dan kesihatan mereka.

Tambahnya, kesihatan umum dan ekonomi juga perlu seimbang antara menyelamatkan nyawa, ekonomi dan sosial. Sains tingkah laku penting untuk mengubah gaya hidup.

Contohnya, jika ada gejala pastikan duduk di rumah,kalau perlu keluar pastikan pakai pelitup muka dan elakkan tempat sesak dan sempit.

Perubahan tingkah laku boleh dilaksanakan dengan memaklumkan maklumat yang ringkas dan cepat supaya orang ramai faham mengenai apa yang boleh dan perlu dielakkan.
“Kalau ada orang kata vaksinasi tidak berkesan, ia tidak betul. Kita sudah buktikan jangkitan masih ada tetapi kematian berkurangan. Daripada 400 kes jangkitan, menurun kepada hanya 10 kes sehari.

“Inilah kita patut lakukan iaitu meningkatkan pemantauan, kesiapsiagaan hospital, vaksin terutama mereka yang berisiko tinggi, mendapatkan ‘booster’ dan memperkasakan komuniti. Sekarang kita masih memantau COVID-19. Apa yang penting, kita jaga diri dan keluarga, masyarkat dan negara, kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya.
merentas bidang

Aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu merentasi semua jenis sektor pekerjaan dan lapisan masyarakat dalam memastikan visi rekod tanpa kecederaan dan kemalangan tercapai. Ia selaras dengan pekerjaan masa depan yang lebih kepada corak ekonomi Gig di mana hubungan antara majikan dan pekerja sangat ‘longgar’ dan hampir tiada.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan) JKKP, Ir. Ts. Dr. Majahar Abd. Rahman berkata, perundangan dalam konteks Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan perlu mengambil kira ekonomi Gig itu sendiri.

“Industri pekerjaan kini sedang bergerak laju ke arah ekonomi Gig. Kita bercakap mengenai sektor pembinaan dan pembuatan sebelum ini tetapi kita tidak boleh melupakan sektor pekerjaan lain seperti perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit kerana ada risiko yang menyebabkan kemalangan serius.

“Dalam pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terdapat satu peruntukan di mana majikan yang mempunyai lebih lima pekerja perlu melantik salah seorang pekerja mereka sebagai Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH). Ini termasuk majikan yang bersaiz kecil dan sederhana besar dan multinasional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×